KUCHING: Lubok Antu terus merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi di Sarawak apabila meningkat kepada 191 setakat 12.00 tengah hari ini.
Berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), bacaan di Lubok Antu meningkat sembilan mata berbanding 182 pada 8.00 pagi tadi, namun masih berada dalam kategori tidak sihat.
Lundu turut menunjukkan peningkatan ketara apabila bacaan IPU naik daripada 106 kepada 142, manakala Sri Aman meningkat daripada 155 kepada 156.
Sementara itu, bacaan di Samarahan menurun sedikit daripada 164 kepada 162, manakala IPD Serian turun daripada 162 kepada 158.
Lima kawasan berkenaan kekal dalam kategori tidak sihat, dengan Lubok Antu merekodkan bacaan tertinggi, diikuti Samarahan (162), IPD Serian (158), Sri Aman (156) dan Lundu (142).

Dalam pada itu, Kuching mencatatkan bacaan IPU sebanyak 95 pada 8.00 pagi dan kekal pada tahap sederhana.
Kawasan lain yang berada pada tahap sederhana ialah Bintulu (84), Sarikei dan ILP Miri masing-masing 80, Samalaju (82), Tebedu (93), Miri (70), Mukah (72), Sibu (67), Lawas (65), Kapit (63), Limbang (59) dan Bario (57).
Tiada kawasan merekodkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat atau berbahaya setakat 12.00 tengah hari ini.
Mengikut klasifikasi IPU, bacaan 51 hingga 100 dikategorikan sebagai sederhana, manakala 101 hingga 200 berada pada tahap tidak sihat.
Bacaan 201 hingga 300 pula dikategorikan sebagai sangat tidak sihat, manakala melebihi 300 adalah berbahaya.
Bacaan IPU dikira berdasarkan purata 24 jam daripada parameter pencemar udara yang paling dominan.





