Sarawak Energy perkukuh tadbir urus, daya tahan digital sektor tenaga ASEAN

Facebook
WhatsApp
DELEGASI dan tetamu kehormat bergambar kenangan pada Sidang Kemuncak Audit Dalaman HAPUA 2026.

KUCHING: Sarawak Energy terus memperkukuh komitmennya terhadap tadbir urus, audit dalaman dan daya tahan digital dalam menghadapi perubahan teknologi serta risiko baharu yang semakin kompleks dalam sektor tenaga.

Komitmen itu diketengahkan menerusi Sidang Kemuncak Audit Dalaman Ketua-Ketua Utiliti dan Pihak Berkuasa Tenaga ASEAN (HAPUA) 2026 yang dianjurkan Sarawak Energy di Kuching pada 12 Ogos lalu.

AHLI Lembaga Pengarah Sarawak Energy yang juga Pengerusi Jawatankuasa Audit Lembaga, Ainul Azhar Ainul Jamal menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Audit Dalaman HAPUA 2026.

Bertemakan ‘Memimpin dengan Jaminan: Kepercayaan Digital, Daya Tahan dan Penciptaan Nilai dalam Utiliti Tenaga’ sidang kemuncak berkenaan menghimpunkan wakil negara HAPUA, ketua eksekutif audit, perwakilan serta pemain industri bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan fungsi audit dalaman dan memperkukuh kerjasama antara utiliti tenaga ASEAN.

Ahli Lembaga Pengarah Sarawak Energy yang juga Pengerusi Jawatankuasa Audit Lembaga, Ainul Azhar Ainul Jamal dalam ucaptama beliau berkata, fungsi audit dalaman perlu berkembang melangkaui pematuhan dan jaminan tradisional bagi membantu organisasi mengurus risiko serta memperkukuh tadbir urus.

NAIB Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat Sarawak Energy, Marconi Madai menyampaikan ucapan alu-aluan pada Sidang Kemuncak Audit Dalaman HAPUA 2026.

Menurutnya, audit dalaman kini memainkan peranan sebagai rakan strategik kepada lembaga pengarah dan pengurusan dalam memastikan risiko difahami, tadbir urus kekal kukuh, sumber diurus secara bertanggungjawab dan program transformasi mencapai nilai yang disasarkan.

“Tatakelola yang baik menjadi asas dalam membina keyakinan pihak berkepentingan serta memperkukuh kerjasama di seluruh rantau,” katanya.

NAIB Presiden Audit Dalaman Kumpulan Sarawak Energy, Steven Kho Chai Huat menyampaikan ucapan penutupan pada Sidang Kemuncak Audit Dalaman HAPUA 2026.

Beliau turut menekankan potensi kecerdasan buatan (AI) dalam meningkatkan amalan audit menerusi analisis data dan pemantauan, namun penggunaannya memerlukan pengawasan teliti khususnya berkaitan tadbir urus data, keselamatan siber dan aspek etika.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat Sarawak Energy, Marconi Madai berkata, HAPUA memainkan peranan penting dalam menggalakkan kerjasama, perkongsian pengetahuan dan hubungan lebih erat antara utiliti tenaga ASEAN.

Katanya, cabaran yang dihadapi sektor tenaga hari ini tidak boleh ditangani oleh sesebuah utiliti secara bersendirian, sebaliknya memerlukan perkongsian pengalaman dan amalan terbaik antara negara.

Beliau berkata, pendekatan secara kolektif bukan sahaja dapat memperkukuh organisasi masing-masing, malah menyokong aspirasi ASEAN ke arah sektor tenaga serantau yang lebih bersepadu, berdaya tahan dan mampan.

Dalam pada itu, Naib Presiden Audit Dalaman Kumpulan Sarawak Energy, Steven Kho Chai Huat berkata, sidang kemuncak berkenaan memperlihatkan bagaimana fungsi audit dalaman dalam organisasi anggota HAPUA terus menerima pakai inovasi dan memperluas keupayaan masing-masing.

Katanya, walaupun beroperasi dalam negara dan persekitaran organisasi berbeza, banyak cabaran serta peluang yang dihadapi adalah hampir sama.

Sidang kemuncak dua hari itu dianjurkan oleh Malaysia Chapter HAPUA Working Group No. 5 bersama pasukan Audit Dalaman Sarawak Energy.

Antara topik yang dibincangkan termasuk kecerdasan buatan, keselamatan siber, jaminan digital, tadbir urus alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), analisis data, kesinambungan perniagaan serta pemantauan projek modal berskala besar.

Program berkenaan menampilkan tujuh sesi perkongsian dengan penyertaan 20 penceramah, selain memperkenalkan delegasi kepada hospitaliti tempatan menerusi pelayaran sungai ketika matahari terbenam di Sungai Sarawak yang menampilkan mercu tanda utama Kuching pada makan malam hari pertama.

Shikin Mahmud

Lubok Antu tertinggi, IPU 182 pagi ini

KUCHING: Lubok Antu merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi di Sarawak dengan 182, sekali gus berada dalam kategori tidak