Wanita ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang di Petra Jaya

Facebook
WhatsApp
SEORANG mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran Klinik Kesihatan Petra Jaya, Kuching, pagi ini. Foto JBPM Sarawak

PETRA JAYA: Seorang mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran Klinik Kesihatan Petra Jaya di sini, pagi ini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.34 pagi.

Susulan panggilan berkenaan, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya bersama sebuah jentera penyelamatan (FRT) digerakkan ke lokasi.

Pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira dua minit kemudian pada 9.36 pagi bagi menjalankan operasi mengangkat mangsa dari longkang berkenaan.

Operasi diketuai Komander Operasi Pandi Seh.

Setakat laporan awal dikeluarkan, keadaan terkini mangsa serta punca kejadian masih belum diketahui.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) turut berada di lokasi bagi membantu operasi.