MUKAH: Tiga lelaki warga tempatan ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam Ops Tapis Khas di kawasan ladang Jalan Mukah-Balingian, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah kira-kira 5.00 petang, berdasarkan maklumat diterima.
Menurutnya, serbuan dilakukan di luar pondok pengawal sebuah syarikat perladangan sebelum tiga lelaki berusia 57, 28 dan 37 tahun ditahan.
“Suspek pertama berusia 57 tahun ditahan di belakang pondok pengawal dan pemeriksaan menemui satu keratan tiub straw plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai methamphetamine atau syabu seberat 0.45 gram,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Muhamad Rizal berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek berkenaan turut mendapati dia positif amphetamine dan methamphetamine.
“Suspek yang tidak bekerja dan mempunyai lima rekod kesalahan lampau berkaitan dadah direman dua hari sehingga 28 Ogos ini bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Beliau berkata, suspek kedua berusia 28 tahun dan suspek ketiga berusia 37 tahun masing-masing ditahan di hadapan pondok pengawal, namun pemeriksaan tidak menemui sebarang barang salah.
“Kedua-dua suspek bagaimanapun didapati positif amphetamine dan methamphetamine menerusi ujian air kencing dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Menurutnya, suspek kedua yang bekerja sebagai pembantu kedai dan mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah, manakala suspek ketiga yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.
“Kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu tarikh pendakwaan,” katanya.
Muhamad Rizal berkata, IPD Mukah kekal komited membanteras segala aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah boleh menghubungi talian hotline 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Oleh Akun Giman





