Kes tujuh pegawai dirujuk kepada pendakwa raya, dakwaan tutup kes nahas Jeju Air 2024

Facebook
WhatsApp
Foto fail 14 Januari 2025 ini menunjukkan pegawai sedang memeriksa serpihan pesawat dalam nahas Jeju Air yang mengorbankan banyak nyawa di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, kira-kira 290 kilometer di selatan Seoul. Foto AGENSI

SEOUL: Kes tujuh pegawai kementerian pengangkutan diserahkan kepada pihak pendakwa raya susulan dakwaan mereka menyembunyikan ketidakpatuhan pemasangan “localiser” yang dikaitkan dengan nahas Jeju Air 2024, lapor Agensi Berita Yonhap memetik polis Korea Selatan pada Rabu.    

Nahas pada 29 Disember 2024 itu mengorbankan 179 penumpang dan anak kapal apabila pesawat penumpang berkenaan melakukan pendaratan cemas tanpa gear di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, kira-kira 290 kilometer di selatan Seoul, sebelum merempuh konkrit yang menempatkan localiser, iaitu sistem navigasi yang membantu pesawat ketika mendarat.

Menurut pasukan siasatan khas polis, tujuh pegawai itu dirujuk kepada pihak pendakwa raya pada Selasa kerana disyaki menyediakan kenyataan media yang mendakwa “localiser” berkenaan dipasang mengikut peraturan walaupun mengetahui ia tidak mematuhi ketetapan yang ditetapkan.

Selepas nahas itu, kedudukan “localiser” di dalam konkrit berkenaan menimbulkan persoalan sama ada ia menyumbang kepada angka korban yang tinggi. – Bernama-Yonhap