JAKARTA, 10 Oktober: Gunung berapi Anak Krakatau di Indonesia menunjukkan aktiviti baharu, merekodkan sekurang-kurangnya 13 letusan pada Jumaat sekali gus mendorong pihak berkuasa menaikkan status amarannya kepada Tahap III, tahap kedua tertinggi dalam sistem amaran gunung berapi empat peringkat negara itu.
Menurut Agensi Geologi, amaran itu dinaikkan dari Tahap II, berkuat kuasa 9.00 malam waktu tempatan pada Jumaat, berikutan penilaian aktiviti gunung berapi sejak awal bulan ini.
“Tanda-tanda peningkatan aktiviti pada skala rendah mula muncul pada awal Oktober 2026,” menurut agensi itu dalam penilaiannya bertarikh 9 Oktober walaupun ia menyatakan bahawa pemantauan seismik tidak menunjukkan peningkatan keseluruhan yang ketara dalam gempa bumi gunung berapi.
Anak Krakatau, yang terletak di Selat Sunda antara Jawa dan Sumatera, telah diturunkan taraf kepada Tahap II pada 21 September berikutan pengurangan aktiviti gunung berapi, selepas kekal di Tahap III sejak awal September.
Aktiviti terbaharu itu susulan siri letusan besar pada awal September yang menyembur abu gunung berapi ke atmosfera, memaksa penutupan sementara lapangan terbang dan mengganggu 2,961 penerbangan membabitkan kira-kira 341,000 penumpang.
Menurut laporan letusan yang disiarkan pada laman web Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bahaya Geologi (PVMBG), letusan yang dicatatkan pada Jumaat termasuk satu letusan pada 4.17 petang yang melepaskan tiang abu 250 meter di atas puncak, diikuti letusan pada 4.30 petang dengan tiang abu setinggi 150 meter.
Sebelas lagi letusan direkodkan antara 6.28 petang dan 9.20 malam walaupun tiang abu tidak dapat diperhatikan, manakala pemantauan seismik seharian PVMBG merekodkan 26 gempa bumi letusan.
Agensi Geologi melarang penduduk, pelawat dan pelancong memasuki radius lima kilometer pusat letusan dan kawasan dalam jarak satu kilometer daripada dua pulau yang baru terbentuk di barat laut dan tenggara Anak Krakatau, memberikan amaran mengenai batu gunung berapi, hujan abu tebal, aliran lava dan letusan sekunder.
Ia juga menggesa masyarakat pesisir pantai di wilayah Banten dan Lampung supaya bertenang, mengelak daripada menyebarkan dakwaan tsunami yang tidak disahkan dan mematuhi arahan keselamatan rasmi.- Bernama




