CERPEN yang berkesan tidak semestinya mengandungi dunia yang besar, makhluk yang banyak atau kejadian yang bertimpa-timpa. Sebaliknya, kekuatan cerpen sering lahir daripada prinsip pemadatan: sedikit ruang, sedikit watak dan sedikit masa, tetapi setiap unsur bekerja menuju satu kesan yang sama.
Edgar Allan Poe, antara pengasas penting teori cerpen moden, membina suasana sedemikian dalam The Fall of the House of Usher apabila penceritanya mengaku, “I know not how it was—but, with the first glimpse of the building, a sense of insufferable gloom pervaded my spirit.” Rumah Usher belum pun melakukan apa-apa, tetapi suasananya sudah mempunyai daya psikologi terhadap manusia yang memasukinya.
Dalam tradisi cerita rimba dan cerita ghaib pula, prinsip yang sama amat penting: hutan tidak cukup sekadar mempunyai kabus, makhluk berbulu, gua, keris dan istana ghaib; semua unsur itu mesti terasa berasal daripada satu sistem misteri yang sama. Inilah persoalan terbesar yang perlu dibereskan dalam “Misteri Penjaga Rimba Purba” karya Kalam Ismawangsa.
Cerpen ini memiliki bahan asas yang menarik—pemburu tua, hutan keramat, makhluk misteri, warisan keris dan pertukaran manusia biasa menjadi penjaga dua alam—tetapi bahan-bahan tersebut bergerak terlalu cepat sehingga pengalaman Akik kadangkala terasa seperti rentetan kejutan, bukan suatu takdir yang berkembang secara organik.
Pada dasarnya, cerpen ini mempunyai premis yang berpotensi kuat. Akik bukan pendekar muda yang sengaja mencari kesaktian, tetapi pemburu berusia lebih setengah abad yang masuk ke hutan kerana tanggungjawab terhadap keluarga. Pilihan ini baik kerana ia menyediakan pertentangan yang lebih menarik daripada kisah kepahlawanan biasa.
Seorang lelaki tua yang cuma mahu memperoleh makanan akhirnya dipaksa memikul tanggungjawab terhadap seluruh rimba. Ironinya cukup subur: dia masuk sebagai pemburu, tetapi keluar sebagai penjaga. Bahkan judul “Misteri Penjaga Rimba Purba” sepatutnya menjadikan perubahan moral inilah paksi utama cerita.
Persoalan yang perlu digali bukan sekadar “siapakah makhluk di hutan?”, tetapi “bagaimanakah seseorang yang selama ini mengambil nyawa daripada hutan boleh dipilih untuk menjaga kehidupan di dalamnya?” Sekiranya pertanyaan ini dijadikan tulang belakang cerita, cerpen akan memperoleh makna yang jauh lebih mendalam.
Masalahnya, pembukaan cerita masih banyak memberitahu pembaca tentang misteri sebelum pembaca sempat mengalaminya. Ayat seperti, “Malam melabuhkan tirainya, membalut gelap belantara dengan seribu rahsia. Di celah-celah pokok besar tersembunyi ilmu dan bisikan roh purba. Gabungan dua takdir antara pemburu yang menjejaki erti kelangsungan hidup dan penjaga rimba yang mempertahankan setiap inci tanah hutan keramat ini” sudah mengumumkan tema, konflik dan sifat ghaib rimba sekali gus.
Dari sudut penceritaan, pemberitahuan ini menyebabkan misteri kehilangan sebahagian kuasanya. Lebih berkesan sekiranya pengarang memperlihatkan keanehan rimba melalui pengalaman Akik.
Misalnya, pembukaan boleh digerakkan melalui satu petanda ganjil: jejak binatang yang berhenti mendadak di tanah, burung yang tiba-tiba diam, atau bau kemenyan yang mustahil muncul jauh di tengah hutan. Dengan cara ini, pembaca tidak diberitahu bahawa rimba “bernyawa”; pembaca merasakan sendiri bahawa sesuatu sedang memerhatikan Akik.
Bahagian Akik bermalam di bawah banir juga boleh dimanfaatkan untuk membina watak dengan lebih tajam. Sekarang, narasi menyebut bahawa hutan itu seperti tempat permainannya sejak kecil dan bahawa dia mengikuti arwah ayahnya berburu.
Maklumat ini penting, tetapi masih berupa latar biografi. Hubungan Akik dengan ayahnya sepatutnya dijadikan benih kepada peristiwa kemudian. Barangkali ayahnya pernah melarang Akik memasuki kawasan tertentu.
Barangkali ada pantang: jangan memburu rusa bertanduk putih, jangan menyahut suara manusia selepas senja, atau jangan masuk ke gua di belakang air terjun. Apabila Akik kemudian terpaksa melanggar pantang itu, pembaca akan merasakan bahawa plot sedang menunaikan sesuatu yang telah ditanam sejak awal.
Bahkan kemahiran Akik yang kemudian disebut sebagai “langkah sepantas kilat yang dipelajarinya daripada arwah ayahnya” akan terasa lebih meyakinkan sekiranya hubungan latihan antara ayah dengan anak sudah terlebih dahulu diperlihatkan.
Adegan penemuan makhluk berbulu yang sedang meratah rusa merupakan bahagian paling berhasil dalam membina suspens, tetapi masih boleh dipadatkan. Terdapat pengulangan aksi yang hampir sama apabila Akik dua kali terpijak ranting kering.
Kali pertama, makhluk itu berhenti mengunyah dan mencari sumber bunyi; beberapa perenggan kemudian, Akik “terundur selangkah lalu memijak sekali lagi sebatang ranting kering”.
Pengulangan ini tidak meningkatkan bahaya dengan cukup ketara. Lebih baik hanya satu ranting dipijak, tetapi akibatnya diperbesar. Contohnya: Akik terpijak ranting; makhluk berhenti mengunyah; selepas beberapa saat yang terlalu panjang, ia menghidu udara dan perlahan-lahan bergerak menuju pokok tempat Akik bersembunyi. Ketegangan kemudian lahir daripada jarak yang semakin pendek, bukan daripada kejadian yang berulang.
Bahasa dalam adegan tersebut juga kerap menerangkan emosi yang sebenarnya sudah dapat difahami daripada tindakan. Ungkapan seperti “Bau hamis yang dibawa angin mula menusuk hidung, membuatkan degupan jantung Akik berdegup kencang” boleh diperkemas kerana “degupan jantung berdegup” bersifat lewah. Ia boleh diolah menjadi, misalnya: “Bau hamis menerpa bersama angin.
Dada Akik berdebar keras; dia menelan liur dan merapatkan tubuh ke kulit tualang.” Perubahan kecil seperti ini penting kerana prosa aksi memerlukan kata kerja konkrit. Tubuh yang bertindak jauh lebih meyakinkan daripada narator yang berulang kali memberitahu bahawa watak “terkejut”, “takut” atau “berdebar”.
Begitu juga gambaran rusa yang telah dimakan muncul beberapa kali. Pembaca mula-mula diberitahu makhluk itu “meratah bangkai seekor rusa”, kemudian sekali lagi diperincikan bahawa “seekor rusa jantan besar” terkulai dengan koyakan di leher.
Dalam cerpen yang ruangnya terbatas, pendedahan kedua sepatutnya menambah maklumat baharu. Misalnya, selepas Akik mendekati bangkai itu, dia terlihat sesuatu yang mustahil—rusa tersebut mempunyai tanda tertentu yang mengingatkannya kepada pantang arwah ayahnya. Maka rusa bukan sekadar mangsa ngeri, tetapi jambatan antara bahagian realistik dengan mitologi rimba.
Adegan kejar-mengejar menuju gua mempunyai tempo yang baik kerana Akik akhirnya menggunakan pengetahuan tentang hutan, bukan bergantung pada kekuatan fizikal. Ini tepat untuk wataknya sebagai pemburu tua.
Namun gua tersembunyi yang “hanya diketahui olehnya” muncul terlalu convenient. Cerita perlu menanam kewujudan tempat itu lebih awal. Jika pada pembukaan Akik teringat pernah berlindung di belakang air terjun bersama ayahnya sewaktu kecil, maka keputusannya menuju gua semasa dikejar akan menjadi hasil pengetahuan watak, bukan penyelesaian yang baru dicipta ketika diperlukan.
Masalah kesinambungan yang paling ketara muncul sesudah gua runtuh. Narasi menyebut, “Hutan itu seolah-olah sedang menahan nafas, tunduk kepada kuasa yang baru sahaja bangkit daripada keris di tangan Akik.”
Akan tetapi, pada titik ini Akik belum memperoleh keris. Keris bercahaya baru ditemukannya kemudian di dewan bawah tanah. Kesilapan kontinuiti ini perlu dibetulkan kerana keris ialah objek terpenting dalam klimaks cerita.
Ayat tersebut mungkin boleh menjadi, “Hutan itu seolah-olah sedang menahan nafas, seakan-akan sesuatu jauh di bawah tanah baru sahaja terjaga.” Dengan perubahan itu, kesunyian hutan menjadi petanda awal kepada keris yang belum ditemukan.
Kemunculan lembaga misteri selepas serangan makhluk juga belum memperoleh identiti dramatik yang cukup jelas. Pada akhirnya, Akik menyebut kepada keluarganya bahawa lembaga tersebut ialah “Penjaga Sumpah”, tetapi nama atau fungsi itu tidak benar-benar diperkukuh ketika pertemuan pertama.
Hubungan antara makhluk berbulu, Penjaga Sumpah, keris, ribuan makhluk dan takhta rimba juga kabur. Adakah makhluk berbulu tadi penguji? Penjaga keris? Makhluk liar yang kebetulan berada di situ?
Musuh kepada Penjaga Sumpah? Cerita fantasi tidak perlu menerangkan seluruh mitologinya, tetapi pembaca perlu dapat memahami hubungan sebab-akibat. Satu dialog ringkas boleh menyelesaikan banyak perkara.
Lembaga itu, misalnya, boleh berkata bahawa makhluk tadi ialah penjaga gerbang pertama dan hanya manusia yang tidak membunuhnya layak memasuki dewan waris. Dengan itu, tindakan Akik melarikan diri dan tidak membunuh makhluk tersebut memperoleh makna moral.
Bahagian paling besar yang memerlukan penyusunan semula ialah perjalanan Akik daripada pemburu yang ketakutan kepada Panglima Rimba. Perubahan ini berlaku hampir serta-merta. Dia masuk ke istana, terlihat keris, menggunakan helah, lalu ribuan makhluk tiba-tiba tunduk kepadanya.
Surat kemudian menjelaskan bahawa dia telah “sedia memimpin angkatan rimba”. Persoalannya: apakah yang telah dilakukan Akik untuk membuktikan kesiapsediaan itu? Sekadar berjaya merampas keris belum cukup. Pewarisan kuasa akan lebih meyakinkan jika Akik menghadapi pilihan moral, bukan hanya ujian ketangkasan.
Contohnya, dia mungkin diberi peluang membunuh makhluk berbulu yang mengejarnya, tetapi kemudian menyedari bahawa makhluk itu sebenarnya penjaga anak rimba yang cedera.
Atau keris hanya menyala apabila Akik sanggup melepaskan hasil buruannya demi menyelamatkan satu makhluk. Pada saat itulah perubahan pemburu menjadi penjaga benar-benar berlaku.
Klimaks keris sendiri juga mengandungi beberapa kekeliruan tindakan. Narasi mula-mula menyatakan bahawa Akik “tidak mencapai keris”, kemudian “terus menerkam ke arah keris”, menanggalkan kain kepala, “menyentap hulu” dan selepas itu “melemparkan kainnya ke arah hulu gading keris tersebut sehingga jatuh”. Urutan fizikal ini sukar divisualisasikan.
Adegan aksi perlu sangat jelas dari segi ruang dan gerakan. Ia boleh diolah, misalnya: Akik mengelak serangan ketua makhluk, melilit kain kepala pada pergelangan tangannya, menerkam ke bawah keris terapung lalu menggunakan kain itu untuk mencangkuk hulunya.
Sebaik keris menyentuh lantai, api hitam padam dan cahaya keemasan meledak. Satu rangkaian sebab-akibat yang jelas akan menghasilkan aksi yang jauh lebih sinematik.
Sesudah keris jatuh, “mereka semua tunduk menyembah Akik” juga terlalu mudah. Klimaks yang baik sepatutnya membuat pembaca terasa bahawa sesuatu telah dibayar.
Akik boleh mengalami luka, kehilangan hasil buruan, terpaksa mengucapkan sumpah atau menerima kewajipan yang bertentangan dengan kehidupannya sebagai pemburu. Misalnya, Penjaga Sumpah boleh meminta: “Jika kau mengambil keris itu, tiada lagi darah rimba boleh kaulimpahkan sesuka hati.”
Akik kemudian memikirkan keluarganya yang bergantung pada buruannya. Di sinilah konflik sebenar lahir. Kuasa mempunyai harga. Tanpa harga, pewarisan takhta mudah terasa seperti hadiah pengarang kepada protagonis.
Penghujung cerita juga menimbulkan percanggahan yang menarik tetapi belum dimanfaatkan. Akik ditabalkan sebagai penjaga rimba, tetapi kemudian “berjaya membawa hasil buruan yang cukup” pulang kepada keluarganya.
Dari manakah hasil buruan itu diperoleh selepas semua kejadian tadi? Cerita tidak menunjukkan Akik memburu lagi. Lebih penting, apakah maknanya seorang Panglima Rimba masih membawa pulang binatang yang dibunuhnya? Pertentangan ini sebenarnya boleh menjadi penutup yang jauh lebih bernilai.
Akik mungkin pulang tanpa buruan, tetapi menemukan rusa atau kijang mati secara semula jadi yang diberikan kepadanya sebagai “bahagian rimba”; atau dia pulang membawa tumbuhan, ikan sungai atau bekalan lain. Dengan itu pengarang menunjukkan bahawa hubungan Akik dengan alam telah berubah.
Watak Siwang dan Ahuk pula muncul hanya pada penghujung dan berfungsi sebagai pendengar. Mereka akan lebih berkesan jika diperkenalkan lebih awal sebagai sebab utama Akik sanggup masuk begitu jauh ke hutan.
Sebelum Akik berangkat, mungkin Siwang mengingatkannya bahawa hutan di kawasan tertentu sudah lama dilarang oleh orang tua kampung. Ahuk pula mungkin meminta ayahnya membawa pulang sesuatu.
Apabila Akik kemudian menghadapi maut, wajah isteri dan anaknya boleh muncul dalam fikirannya. Maka keluarga bukan aksesori epilog, tetapi tekanan emosional yang menggerakkan protagonis sejak awal.
Malah penutup boleh dibuat lebih sugestif. Sekarang Akik menceritakan hampir seluruh kejadian kepada keluarganya, menyebabkan misteri yang dibina sepanjang cerita diterangkan semula.
Cerpen sebenarnya boleh berakhir dengan imej, bukan laporan. Bayangkan Akik selesai bercerita, lalu dari luar rumah terdengar satu bunyi berat di halaman. Siwang ketakutan. Akik membuka sedikit pintu.
Makhluk berbulu yang mengejarnya tadi berdiri di pinggir gelap, bukan untuk menyerang tetapi menundukkan kepala sebelum kembali ke rimba. Akik menyentuh hulu kerisnya. Pada saat itu pembaca memahami bahawa dia benar-benar telah diterima sebagai penjaga. Penutup demikian lebih ekonomik, visual dan berbekas.
Secara keseluruhannya, “Misteri Penjaga Rimba Purba” tidak kekurangan imaginasi; yang perlu dikawal ialah limpahan imaginasi itu. Makhluk raksasa, gua, ukiran purba, lembaga, istana ghaib, keris, api hitam, angkatan makhluk dan surat pewaris semuanya menarik, tetapi setiap penambahan unsur baharu menuntut hubungan yang jelas dengan unsur sebelumnya.
Pengarang sebaik-baiknya mengurangkan sedikit jumlah kejutan lalu memperdalam sebab-akibat antara kejutan tersebut. Biarkan makhluk pertama menjadi sebahagian daripada ujian.
Biarkan ajaran ayah Akik menjadi kunci keselamatan. Biarkan gua telah disebut lebih awal. Biarkan keris mempunyai harga. Dan paling penting, biarkan Akik memilih untuk menjadi penjaga, bukan sekadar diumumkan sebagai penjaga.
Apabila perubahan itu dilakukan, cerpen ini boleh bergerak daripada cerita pengembaraan ghaib yang rancak kepada sebuah cerita tentang perubahan etika manusia terhadap alam.
Akik memasuki rimba untuk mengambil sesuatu daripadanya; dia keluar setelah memahami bahawa rimba juga menuntut sesuatu daripadanya. Itulah ironinya, dan di situlah judul cerita menemukan maknanya yang paling kuat: misteri sebenar “Penjaga Rimba Purba” bukanlah siapa yang menjaga hutan sebelum Akik, tetapi mengapa seorang pemburu tua akhirnya dipilih untuk menjaga apa yang diburu sepanjang hidupnya.
Apabila persoalan itu menjadi pusat naratif, rimba tidak lagi sekadar latar penuh kabus dan makhluk ghaib. Rimba memperoleh kehendak, ingatan dan hukum; sementara Akik tidak lagi sekadar manusia yang terselamat daripada bahaya, tetapi manusia yang berubah kerana bahaya itu.
Oleh Lokman Hakim





