TANJUNG MANIS: Perancangan dan pelaksanaan pembangunan di Tanjung Manis telah bermula sejak empat dekad yang lalu, kata Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh.
Katanya, pembangunan ini merupakan sebahagian usaha kerajaan untuk menyediakan infrastuktur dan kemudahan terbaik kepada rakyat di kawasan Tanjung Manis.
“Perubahan Tanjung Manis tidak berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya melalui pelbagai fasa dan cabarannya yang tersendiri.
“Perancangan jangka panjang bukan sahaja di Belawai ini, tetapi di keseluruhan kawasan Tanjung Manis.
“Semua kemudahan asas sudah disediakan seperti bekalan air bersih, demaga, lapangan terbang dan sebagainya sudah disediakan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menjalankan tinjauan projek naik taraf Pantai Belawai, Sabtu lalu.
Tambahnya, kini kerajaan juga sedang giat membangunkan bangunan pentadbiran bersepadu 16 tingkat yang bakal menjadi salah satu mercu tanda pembangunan di Tanjung Manis.
“Ini merupakan penambahbaikan sebuah bandar di kawasan ini. Kalau kita lihat pembangunan Bintulu misalnya, 40 tahun lalu, Bintulu merupakan sebuah bandar nelayan.
“Pada hari ini kita melihat bagaimana Bintulu telah pesat membangun. Begitu juga dengan Tanjung Manis. Dengan membangunnya Tanjung Manis, kawasan-kawasan disekitarnya turut akan membangun,” ujarnya.
Len Talif yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, oleh sebab itu, setiap pembangunan infrastruktur seperti ini akan mengambil masa untuk merancang dan melaksana, tetapi akan dimanfaatkan oleh rakyat untuk 50 tahun yang akan datang.
“Apa yang kita laksanakan hari ini adalah untuk kemudahan generasi akan datang.
“Oleh sebab itu, saya merasa teruja melihat pembangunan di sini dan bukan sahaja di Belawai tetapi semua kampung sama ada kampung Melayu, kampung Melanau, kampung Iban dan sebagainya akan sama-sama digerakkan supaya kawasan ini dapat membangun seperti kawasan yang lain di negeri Sarawak,” katanya lagi.
Oleh EARL ANEK