KUALA LUMPUR: Tiket untuk pementasan semula Puteri Gunung Ledang The Musical tahun ini, habis terjual dalam masa dua jam selepas jualan kepada umum dibuka, dengan lebih 22,000 individu masih berada dalam senarai menunggu secara dalam talian, setakat semalam.
Sambutan luar biasa itu menandakan detik penting kepada produksi tempatan berkenaan yang dipentaskan buat kali pertama hampir dua dekad yang lepas, dan kali ini kembali dengan pementasan muzikal yang diberi nafas baharu dan barisan pelakon generasi baharu.
Pengarah dan pencipta bersama produksi asal Tiara Jacquelina menyifatkan sambutan orang ramai itu sebagai sesuatu yang luar biasa dan amat menyentuh hati pasukan produksi.
“Sejujurnya, saya sendiri tiada kata-kata untuk menggambarkan perkara yang berlaku semalam. Dua puluh tahun selepas kali pertama kami membawakan Puteri Gunung Ledang ke pentas, mengetahui kisah ini begitu dekat di hati rakyat Malaysia dan kini, seluruh generasi baharu pula ingin mengetahuinya amat-amat menyentuh hati,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tiara berkata sambutan itu juga merupakan petanda yang menggalakkan bagi industri teater dan seni persembahan Malaysia dan mencerminkan minat berterusan orang ramai terhadap cerita tempatan, penggiat seni dan produksi tanah air.
Pementasan 2026 akan dipersembahkan di lokasi baharu, iaitu Pusat Seni Persembahan Jeffrey Cheah (JCPAC), Sunway Square dari 31 Oktober hingga 15 November.
Tiara, yang turut mengarah produksi baharu ini, berkata tiket yang habis terjual itu meletakkan harapan tinggi terhadap pasukan kreatif Enfiniti, yang kini giat menjalani latihan menjelang pembukaan musim pementasan muzikal itu.
“Tanggungjawab saya amat mudah, kami hanya perlu menyampaikan persembahan terbaik dan bukan sekadar memenuhi apa yang diingati atau dijangkakan penonton, kami perlu melangkaui lebih daripada itu,” katanya.
Sambutan hangat daripada orang awam itu turut menarik perhatian negeri lain, mencetuskan perbincangan tentang kemungkinan membawa produksi itu ke lokasi lain selepas musim pementasan itu.
Bagaimanapun, Tiara berkata belum ada persembahan tambahan yang disahkan setakat ini kerana pasukan produksi kini memberikan tumpuan sepenuhnya untuk menghasilkan persembahan yang luar biasa untuk musim ini.
“Tiada apa-apa yang disahkan, dan kini fokus kami ialah memberikan persembahan yang luar biasa. Akan tetapi, selepas melihat sambutan ini, sudah tentu kami perlu meneroka kemungkinan lain yang boleh dilakukan,” katanya. – Bernama




