KOTA SAMARAHAN: Kos tinggi untuk mendapatkan peralatan dan perisian kecerdasan buatan (AI) perlu diberi perhatian bagi memastikan bakat muda Sarawak tidak terhalang daripada mengembangkan kemahiran serta menghasilkan produk digital yang berpotensi dikomersialkan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, keperluan memiliki peranti berprestasi tinggi selain bayaran langganan perisian AI boleh menyebabkan kos pembelajaran dan pembangunan kemahiran dalam bidang itu menjadi semakin tingg
Menurutnya, peserta yang mahu mendalami bidang AI memerlukan komputer riba berkemampuan tinggi, termasuk komputer riba untuk permainan, yang harganya boleh mencecah antara RM9,000 hingga RM15,000 atau lebih.
“Untuk perkara ini memang mereka memerlukan peralatan seperti komputer riba ‘gaming’ yang harganya boleh mencecah antara RM9,000 hingga RM15,000 atau mungkin lebih.

“Selain komputer riba dan gajet, mereka juga perlu membeli serta melanggan aplikasi yang agak mahal kerana bayaran langganan dibuat dalam Dolar Amerika Syarikat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program ‘AI For Makers: Borneo Makers Festival 2026’ di Perkampungan Digital TEGAS di sini, hari ini
Sehubungan itu, beliau berkata, maklum balas peserta program berhubung keperluan peralatan, perisian serta sokongan kewangan akan dibawa kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk penelitian lanjut.
Katanya, usaha membangunkan bakat AI di Sarawak tidak seharusnya tertumpu kepada penyediaan pendidikan dan peranti asas sahaja, sebaliknya perlu mengambil kira keperluan sebenar golongan berkenaan dalam membangunkan produk dan penyelesaian digital.
“Kalau kita mahu melahirkan bakat AI yang benar-benar mampu menghasilkan sesuatu, kita perlu melihat keseluruhan keperluan mereka, bukan hanya pendidikan atau peranti asas.
“Yang lebih penting ialah memastikan mereka mempunyai ruang dan sokongan untuk mengembangkan kemahiran sehingga mampu menghasilkan produk yang boleh digunakan dan dikomersialkan,” ujarnya.
Abdullah yang juga Setiausaha Lembaga Amanah Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) berkata, sokongan yang bersesuaian penting bagi memastikan bakat muda negeri itu dapat terus berkembang dan tidak terhenti hanya kerana kekangan kos.
Dalam pada itu, beliau berkata, potensi golongan muda dalam bidang teknologi perlu terus diperkasa selaras dengan keperluan ekonomi digital yang semakin berkembang.



