JKR Sarawak diiktiraf peneraju kecerdasan buatan dalam pengurusan projek pembinaan

Facebook
WhatsApp
JKR menerima Anugerah Pembina Negara Glodon 2026 bagi kategori Kepimpinan Sektor Awam dalam Pemodelan Maklumat Bangunan 5D Berkuasakan Kecerdasan Buatan. Foto JKR Sarawak

KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menerima Anugerah Pembina Negara Glodon 2026 bagi kategori Kepimpinan Sektor Awam dalam Pemodelan Maklumat Bangunan 5D Berkuasakan Kecerdasan Buatan, sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan jabatan dalam memperkasa transformasi digital sektor pembinaan.

Pengiktirafan itu mencerminkan komitmen berterusan JKR Sarawak dalam memperluas penggunaan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan perancangan, reka bentuk, penyelarasan serta pengurusan projek.

Menerusi penerapan BIM 5D, maklumat daripada model digital dapat diintegrasikan dengan aspek kos dan pengurusan projek, sekali gus membolehkan proses kerja dilaksanakan secara lebih bersepadu, telus dan berasaskan data.

Penggunaan teknologi berkenaan turut membuka ruang kepada JKR Sarawak untuk memperkukuh penyelarasan antara aspek teknikal dan pengurusan, selain menyokong pemantauan projek secara lebih sistematik.

Seiring perkembangan teknologi, keupayaan berasaskan kecerdasan buatan dalam ekosistem BIM berpotensi meningkatkan kecekapan analisis maklumat, menyokong proses membuat keputusan serta memperkukuh penyelarasan dalam penyampaian projek pembinaan.

Pengiktirafan menerusi Anugerah Pembina Negara Glodon 2026 itu diharap menjadi pemangkin kepada JKR Sarawak untuk terus memperluas penerapan BIM dan teknologi digital dalam pengurusan projek.

Langkah berkenaan selaras dengan aspirasi transformasi digital kerajaan Sarawak serta usaha memperkukuh industri pembinaan ke arah pengurusan projek yang lebih pintar, cekap dan mampan.