PETRA JAYA: Penjawat awam perlu memperkukuh penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan tadbir urus digital bagi memastikan perkhidmatan awam negeri terus relevan dengan keperluan semasa.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, Persidangan Ilmu Antarabangsa (IKC) 2026 menjadi platform penting untuk memperkasa kompetensi penjawat awam, khususnya dalam pengurusan data, teknologi digital dan penyampaian perkhidmatan.
Menurutnya, penjawat awam mengendalikan sejumlah besar data kerajaan dan rakyat setiap hari, sekali gus memainkan peranan penting dalam merealisasikan transformasi Sarawak ke arah Kerajaan Pintar.

“Bagi menjayakan transformasi ini, penjawat awam perlu memperkukuh kompetensi dalam bidang kecerdasan buatan (AI), keterangkuman digital dan tadbir urus rekod.
“Ini penting supaya penggunaan infrastruktur dan teknologi dapat diterjemahkan kepada perkhidmatan awam yang lebih berkesan, dipercayai dan responsif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena IKC 2026 di Pejabat Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat di Menara Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Sagah menggesa penjawat awam kerajaan negeri, warga kementerian serta ketua jabatan mengambil peluang menyertai persidangan berkenaan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang berkaitan.
“Kita mahu rakyat Sarawak menjadi pencipta yang aktif dan penilai kritikal maklumat digital, bukannya pengguna pasif alat AI yang tidak dikawal selia,” katanya.
Sementara itu, IKC 2026 yang dianjurkan oleh Pustaka Negeri Sarawak bakal menghimpunkan pakar dan delegasi dari Malaysia, Indonesia dan Filipina.
Persidangan berkenaan dijadual berlangsung dari 23 hingga 26 November 2026 di The Waterfront Hotel, Kuching.
Program tersebut akan menampilkan 17 pembentangan kertas profesional, 100 pembentangan poster penyelidikan serta 20 pameran teknologi yang mengetengahkan penyelesaian dan inovasi terkini.
IKC 2026 turut membuka penyertaan kepada agensi kerajaan, penyelidik, pustakawan, arkivis, profesional muzium dan galeri, penggubal dasar, ahli akademik, pelajar institusi pengajian tinggi serta wakil industri.




