JAKARTA: Kerajaan Indonesia telah berhubung dengan negara jiran mengenai potensi kesan jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan dan tanah di negara itu, menurut Menteri Setiausaha Negara Prasetyo Hadi.
Prasetyo berkata komunikasi telah dilakukan secara tidak rasmi dan menerusi saluran rasmi yang diketuai oleh Menteri Luar Sugiono.
“Itulah sebabnya kami berusaha menangani kebakaran hutan dan tanah ini secepat mungkin,” katanya hari ini, menurut agensi berita Antara.
Prasetyo berkata semalam bahawa Kalimantan Barat terus merekodkan aktiviti titik panas yang meluas.
Pihak berkuasa mengesan 3,100 titik panas dengan tahap keyakinan sederhana dan 406 dengan tahap keyakinan rendah, yang kebanyakannya tertumpu di kabupaten di bahagian selatan dan timur wilayah itu.
Beliau berkata empat syarikat di Kalimantan Barat turut disiasat berhubung pelanggaran yang disyaki mempunyai kaitan dengan kebakaran hutan dan tanah.
Susulan peningkatan risiko kebakaran dan arahan Presiden Prabowo Subianto, Indonesia semalam mengumumkan pengerahan kira-kira 1,500 anggota tentera tambahan dan enam helikopter besar yang menggunakan kaedah water-bombing bagi memperkukuh operasi pemadaman kebakaran di Kalimantan Barat.
Dalam perkembangan terkini pada Ahad, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) memaklumkan kerajaan terus memantau potensi kesan jerebu rentas sempadan dan menyelaras tindakan antara kementerian serta agensi berdasarkan perkembangan semasa di lapangan.
Ketua BNPB Leftenan Jeneral Suharyanto berkata agensi itu mempergiat usaha mengawal kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan dengan menyambung semula Operasi Modifikasi Cuaca (OMC), mengerahkan helikopter tambahan serta memperkukuh operasi pemadaman kebakaran di darat.
“Bagi Kalimantan, kami terus memperkukuh pasukan di darat, menambah helikopter dan OMC telah disambung semula hari ini.
“Dengan segala usaha ini, kami optimis bahawa bersama-sama kita dapat mengawal kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, BNPB kini mempunyai 30 helikopter dalam keadaan siap siaga untuk melaksanakan kaedah water-bombing dan rondaan udara di Kalimantan, manakala operasi darat diperkukuh dengan peralatan perlindungan tambahan, pam air bertekanan tinggi serta sehingga 100 lori tangki air bagi setiap wilayah mengikut keperluan.
Suharyanto berkata kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan menimbulkan cabaran khusus memandangkan banyak kejadian berlaku di tanah gambut, dengan bara api boleh kekal di bawah permukaan walaupun kebakaran kelihatan telah dipadamkan. – Bernama





