SPAOH: Kejohanan Badminton Remaja Spaoh 2026 menjadi platform penting untuk mencungkil bakat baharu serta menyemai minat terhadap sukan badminton dalam kalangan pelajar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata penganjuran kejohanan itu mencerminkan komitmen berterusan Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban dalam menyediakan ruang kepada golongan muda mengasah bakat dan mengembangkan potensi dalam bidang sukan.
Menurutnya, penglibatan aktif dalam sukan bukan sahaja meningkatkan kecergasan fizikal, malah mampu membentuk disiplin, keyakinan diri dan semangat kesukanan dalam kalangan generasi muda.
“Kita mahu mereka yang mempunyai minat dan potensi dalam sukan ini terus berkembang. Bukan itu sahaja, ia juga akan membina kecergasan, membentuk disiplin, keyakinan dan semangat untuk bersaing secara sihat.
“Saya berharap semua peserta mengambil peluang ini untuk menunjukkan kemampuan masing-masing dan terus berlatih. Yang penting, jangan mudah berputus asa dan sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik,” katanya

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Kejohanan Badminton Remaja Spaoh 2026 di Dewan Masyarakat Spaoh, dekat sini semalam.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Akademi Badminton ANT, Anthony Lim, berkata pihaknya bersedia meneruskan kerjasama dengan Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban bagi melaksanakan lebih banyak program pembangunan badminton pada masa hadapan.
Katanya, usaha menggilap bakat pemain muda di kawasan luar bandar amat penting kerana ramai mempunyai potensi besar, namun masih kurang mendapat akses kepada latihan dan bimbingan secara sistematik.
“Golongan belia di luar bandar ini mempunyai bakat yang besar dalam sukan badminton tetapi apa yang agak mengecewakan ialah mereka tidak mendapat latihan yang betul untuk mengembangkan bakat.
“Dengan ada program kerjasama seperti ini, mereka dapat berlatih menggunakan cara dan kaedah yang betul untuk meningkatkan kemahiran dalam sukan badminton,” katanya.

Kejohanan itu disertai 70 peserta terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah di kawasan DUN Bukit Saban dengan bimbingan tenaga pengajar Akademi Badminton ANT yang berpangkalan di Kuching.
Sebanyak lapan acara dipertandingkan melibatkan kategori perseorangan dan beregu lelaki serta perempuan bagi peringkat sekolah rendah dan menengah.
Keseluruhannya, kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM5,800, sekali gus memberi motivasi kepada peserta untuk memberikan aksi terbaik masing-masing.
Penganjuran kejohanan berkenaan diharap dapat memberikan pendedahan serta pengalaman pertandingan kepada pemain muda, selain menjadi landasan untuk mereka terus mengasah kemahiran, meningkatkan keyakinan dan melangkah lebih jauh dalam sukan badminton.
Oleh Adi Safarman





