KUCHING: Kejohanan Nexus of Power Powerlifting Championship bukan sekadar medan menguji kekuatan fizikal, malah membuktikan potensi sukan angkat berat Sarawak untuk terus berkembang dan melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia.
Perkara itu disampaikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, menerusi ucapan yang dibacakan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng, pada Majlis Penutupan Nexus of Power Powerlifting Championship di Plaza Merdeka, di sini, hari ini.
Wee yang juga pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Bina Badan Sarawak serta Timbalan Presiden Persatuan Bina Badan Malaysia berkata, kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu menghimpunkan atlet dari Sarawak, Sabah, Semenanjung Malaysia dan luar negara.
Katanya, penyertaan atlet dari pelbagai negeri dan negara memberi peluang kepada mereka untuk menguji kemampuan serta mencabar had prestasi masing-masing.
Menurut Sim, pencapaian atlet Sarawak dalam sukan berkenaan semakin membanggakan dengan kemunculan jaguh para-powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin, yang juga pemegang rekod dunia dan pemenang pingat emas Paralimpik Paris 2024.
“Pencapaian beliau terus menjadi inspirasi kepada generasi baharu atlet angkat berat di Sarawak,” katanya.
Pada masa sama, kemunculan bakat muda seperti Abrienda Chan turut menunjukkan perkembangan positif sukan berkenaan. Atlet itu berjaya memecahkan beberapa rekod kebangsaan, memenangi gelaran powerlifting Asia serta menjadi rakyat Sarawak pertama beraksi di Kejohanan Powerlifting Dunia.
Sim berkata, perkembangan itu membuktikan Sarawak mempunyai bakat dan semangat daya saing yang tinggi untuk diketengahkan ke peringkat lebih besar.
Menurutnya, kejohanan seperti Nexus of Power penting kerana menjadi antara platform bagi jurulatih dan pencari bakat mengenal pasti atlet berpotensi untuk dibangunkan ke tahap lebih tinggi.
Dalam pada itu, beliau turut melihat peningkatan penyertaan wanita dalam sukan berkenaan sebagai perkembangan yang amat menggalakkan.

Katanya, kejayaan atlet wanita seperti Abrienda secara tidak langsung memecahkan tanggapan bahawa sukan berasaskan kekuatan hanya sesuai untuk golongan lelaki.
“Harapan saya agar lebih ramai anak perempuan, saudara perempuan dan ibu tampil mencuba sukan angkat berat tanpa rasa ragu,” katanya.
Selain pembangunan atlet, Sim berkata kejohanan berkenaan turut memberi impak kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan apabila peserta, jurulatih serta keluarga dari luar Sarawak berkunjung ke Kuching sepanjang pertandingan berlangsung.
Katanya, kehadiran mereka turut memberi manfaat kepada hotel, restoran dan premis perniagaan, termasuk Plaza Merdeka yang menjadi lokasi pertandingan.
“Ini adalah pelancongan sukan dalam bentuk sebenar, membawa pertandingan keluar daripada gimnasium ke ruang awam supaya orang ramai dapat menyaksikan sendiri disiplin yang diperlukan untuk mencapai tahap sukan angkat berat bertaraf dunia,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan sukan di Sarawak turut diperkukuh menerusi persiapan negeri itu sebagai tuan rumah bersama Sukan SEA 2027, termasuk menjadi tuan rumah upacara pembukaan serta 17 acara sukan.
Menurutnya, Stadium Sarawak dijangka siap dan diserahkan pada Januari 2027, manakala kerja menaik taraf keseluruhan kemudahan sukan di Sarawak dijangka siap sepenuhnya sekitar Mei atau Jun tahun depan.
Jelas Sim, pembangunan infrastruktur, peluang dan bakat sukan merupakan antara gambaran pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) dalam sektor sukan.
Pada masa sama, beliau berharap Nexus of Power tidak berakhir sebagai kejohanan sekali sahaja, sebaliknya diteruskan dengan skala yang lebih besar pada masa akan datang.
“Kita mahu melihat kejohanan ini berkembang, menarik lebih ramai atlet dari luar dan meletakkan Sarawak lebih kukuh dalam peta sukan angkat berat serantau, termasuk ketika kita membina momentum menuju Sukan SEA 2027,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa nilai sebenar sukan bukan hanya terletak pada pingat dan rekod, tetapi juga pada disiplin, kesabaran serta ketahanan diri yang dibentuk sepanjang proses latihan.
“Setiap tambahan kilogram pada bar itu diperoleh melalui latihan berbulan-bulan, malah bertahun-tahun. Nilai itu bukan sahaja berguna dalam sukan, tetapi juga dalam pendidikan, kerjaya dan kehidupan,” katanya.
Sim turut menggesa sekolah, universiti dan pusat komuniti supaya terus memperkenalkan sukan berasaskan kekuatan kepada golongan muda bagi membentuk generasi yang lebih berdisiplin dan berdaya tahan.
Oleh Afiq Sallehi





