MIRI: Projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tudan yang terbengkalai sejak sekian lama akhirnya mencapai tahap siap fizikal pada bulan lalu, sekali gus memberi sinar baharu kepada penduduk setempat.
Ahli Parlimen Miri,Chiew Choon Man berkata, perkembangan itu merupakan satu lagi pencapaian penting selepas projek sekolah berkenaan menjadi antara projek sakit yang sekian lama dinantikan masyarakat.
Menurutnya, projek SMK Tudan diluluskan sejak Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) dengan kos asal RM48.2 juta dan melibatkan pembinaan 36 bilik darjah, blok pentadbiran serta akademik.
“Turut disediakan ialah kemudahan seperti makmal, bengkel, kantin, dewan serbaguna dan surau.
“Pembinaannya bermula pada 2016 dan sepatutnya siap pada 2018, namun projek ini kemudiannya menjadi projek sakit sehingga kontrak terdahulu ditamatkan pada Oktober 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.B
eliau berkata, sejak menjadi Ahli Parlimen Miri, isu SMK Tudan bersama projek Sekolah Kebangsaan (SK) Sayed Othman dibawa berulang kali kepada perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), termasuk dibangkitkan di Parlimen dan melalui susulan secara langsung dengan kementerian.
Katanya, projek sekolah yang menelan kos berjuta-juta ringgit tidak seharusnya dibiarkan terbengkalai kerana keadaan itu akhirnya memberi kesan kepada anak-anak serta keluarga di kawasan berkenaan.
“Namun, kerja kita belum selesai. Selepas siap fizikal, masih terdapat beberapa proses teknikal, pemeriksaan, penyerahan, penyediaan kemudahan serta urusan berkaitan sebelum sekolah boleh dibuka dan digunakan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan terus membuat susulan dengan KPM dan semua agensi berkaitan bagi mempercepatkan proses berkenaan dengan sasaran SMK Tudan dapat beroperasi pada tahun depan.
Katanya, pembukaan sekolah itu kelak akan menyediakan ruang pembelajaran yang lebih baik kepada pelajar di Tudan dan kawasan sekitarnya.
“Pendidikan adalah antara jalan paling penting untuk membantu keluarga keluar daripada kemiskinan dan membuka lebih banyak peluang kepada generasi akan datang.
“Sekolah bukan sekadar bangunan. Ia tempat anak-anak kita belajar, membina keyakinan, berkawan, mengenali potensi diri dan menentukan hala tuju hidup mereka,” katanya.
Beliau menegaskan akan terus mengikuti perkembangan projek berkenaan sehingga pintu SMK Tudan benar-benar dibuka kepada pelajar.
Oleh Liong Chai Ling




