Klinik Kesihatan Tanjung Bijat bakal dinaik taraf, terima nafas baharu

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Doris Sophia Brodie melakukan simbolik perasmian Program Derma Darah dan Gotong-Royong Klinik Kesihatan Tanjung Bijat di Lingga, semalam. Foto Pusat Khidmat P202 Parlimen Sri Aman

LINGGA: Klinik Kesihatan Tanjung Bijat dijangka menerima nafas baharu menerusi usaha membaik pulih atau membina semula fasiliti berkenaan, selaras dengan agenda memperkukuh kemudahan kesihatan di Sarawak.

Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie, berkata beliau menyambut baik pemakluman daripada Penghulu Jiram mengenai perancangan menaik taraf atau membina semula Klinik Kesihatan Tanjung Bijat.

Menurutnya, projek berkenaan diyakini dapat direalisasikan menerusi peruntukan RM50 juta yang disediakan bagi menaik taraf fasiliti kesihatan daif di Sarawak, termasuk Klinik Kesihatan Tanjung Bijat.

Beliau berkata, penambahbaikan kemudahan kesihatan itu penting bagi memastikan penduduk di kawasan berkenaan mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih selesa, selamat dan berkualiti.

“Agenda pembangunan Sarawak dalam memperkukuh sistem kesihatan moden turut merangkumi pembinaan Pusat Kanser Sarawak dan Hospital Pengajar Unimas bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Derma Darah dan Gotong-Royong Klinik Kesihatan Tanjung Bijat anjuran Panel Penasihat Klinik Kesihatan Tanjung Bijat, di sini semalam.

DATO Sri Doris Sophia Brodie pada Program Derma Darah dan Gotong-Royong Klinik Kesihatan Tanjung Bijat anjuran Panel Penasihat Klinik Kesihatan Tanjung Bijat, semalam. Foto Pusat Khidmat P202 Parlimen Sri Aman

Doris turut memaklumkan perkembangan sektor kesihatan swasta di Sarawak yang terus berkembang menerusi pembinaan fasiliti perubatan baharu.

Katanya, Pusat Perubatan Gleneagles berkapasiti 200 katil dijangka siap pada 2028, manakala Hospital Pakar Regency yang merupakan hospital pintar bertaraf tertiari dengan kapasiti 300 katil dijangka siap pada 2029.

Dalam pada itu, Doris merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua penderma darah, petugas kesihatan, sukarelawan serta pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

Beliau turut merakamkan syabas dan tahniah kepada Panel Penasihat Klinik Kesihatan Tanjung Bijat yang dipengerusikan Tuai Rumah Juan Brodie atas penganjuran program tersebut.

“Walaupun program ini ringkas, namun ia membawa dua mesej penting, memperlihatkan semangat kemanusiaan, kepedulian dan keprihatinan masyarakat.

“Derma darah mampu menyelamatkan nyawa, manakala gotong-royong memperkukuh hubungan komuniti serta memastikan persekitaran klinik kekal bersih dan selesa,” katanya.

Oleh Adi Safarman