Robot boleh bantu Sarawak hadapi masyarakat menua – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak berucap pada Majlis Perasmian AI untuk Pencipta: Pesta Pencipta Borneo 2026 di Kampung Digital Tegas, Kuching.

KUCHING: Teknologi robotik boleh dimanfaatkan bagi membantu Sarawak menghadapi keperluan masyarakat yang semakin berusia pada masa hadapan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penggunaan teknologi robotik boleh dipertimbangkan bagi membantu penduduk Sarawak yang memerlukan bantuan apabila jumlah penduduk berusia meningkat.

“Kalau orang kita banyak yang tua, kadang-kadang teknologi robotik dapat membantu.

“Robot pada masa kini sudah digunakan dalam pelbagai bidang dan teknologi itu boleh dimanfaatkan untuk membantu manusia.

PREMIER Sarawak meninjau reruai pameran sempena Pesta Pencipta Borneo 2026 di Kampung Digital Tegas, Kuching.

“Robot berpotensi membantu manusia dalam pelbagai bidang termasuk penjagaan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian AI untuk Pencipta: Pesta Pencipta Borneo 2026 di Kampung Digital Tegas, Kuching, hari ini.

Beliau berkata, penggunaan robot dalam sektor kesihatan sudah dilaksanakan di beberapa negara termasuk Jepun dan negara-negara Eropah.

“Di sebuah negeri bernama Bavaria, di hospitalnya, jururawat dibantu robot. Dalam pembedahan, robot membantu doktor.

PENYAMPAIAN cenderamata sebagai kenangan sempena Pesta Pencipta Borneo 2026 di Kampung Digital Tegas, Kuching.

“Robot boleh membantu dalam prosedur pembedahan kerana pergerakannya lebih tepat berbanding manusia,” jelasnya.

Tambah beliau, Sarawak juga perlu melihat penggunaan teknologi berkenaan berdasarkan keperluan negeri, termasuk mengambil kira jumlah penduduk dan keluasan Sarawak.

“Jumlah kita kecil. Manusia kita hanya ada dua juta lebih. Negeri kita besar. Mungkin kita boleh guna robot untuk membantu kita dalam semua bidang,” ujarnya.

Oleh Masrin Affirah