Insentif emas Sukma untuk atlet Sarawak tidak akan kurang daripada negeri lain

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan acara terjun di Pusat Akuatik Darul Ehsan, di Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM: Insentif bagi atlet Sarawak yang memenangi pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026 tidak akan kurang daripada kadar yang diberikan negeri-negeri lain, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak itu berkata, kerajaan negeri komited memastikan atlet yang mengharumkan nama Sarawak menerima ganjaran setimpal atas pencapaian mereka.

Bagaimanapun, katanya, jumlah rasmi insentif bagi pemenang emas, perak dan gangsa masih belum diputuskan kerana perkara itu perlu dibincangkan terlebih dahulu sebelum dibawa untuk pertimbangan Kabinet Sarawak.

“Jumlahnya kemungkinan saya tidak dapat memberikan kerana semua ini kita akan berunding bersama dan akan bawa kepada Kabinet.

“Kabinet yang akan menentukan berapa jumlah untuk emas, berapa jumlah untuk perak dan juga berapa jumlah untuk gangsa.

“Tapi memang seperti apa yang saya katakan tadi, jumlahnya mesti lumayanlah dan saya rasa tidaklah kurang daripada mana-mana negeri yang lain,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan acara terjun di Pusat Akuatik Darul Ehsan, di sini hari ini.

Menurut Abdul Karim, kerajaan negeri juga tidak membezakan kadar insentif berdasarkan sama ada pingat emas itu dimenangi menerusi acara individu atau berpasukan.

Katanya, berdasarkan amalan Sukma terdahulu, setiap atlet yang menyumbang emas dalam acara berpasukan menerima jumlah insentif yang sama seperti pemenang emas acara individu.

“Kalau untuk individu emasnya dapat RM10,000 atau RM15,000, untuk berpasukan pun tiap-tiap yang dapat emas itu pun dapat jumlah yang sama.

“Emas untuk individu, emas untuk berpasukan, kita anggap sama jumlahnya,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata atlet Sarawak juga tidak seharusnya menganggap karier sukan mereka berakhir selepas usia 21 tahun, sebaliknya kerajaan negeri bersedia terus memberi sokongan kepada mereka yang mahu meneruskan penglibatan dalam bidang berkenaan.

Katanya, atlet yang masih berdaya saing selepas Sukma boleh terus dibantu sekiranya mahu meneruskan karier, melanjutkan pendidikan atau mewakili negeri dan negara.

“Sukan ini tidak ada had umur. Kalau kita lihat sukan hanya berhenti pada umur 21, itu adalah satu anggapan yang salah.

“Sekiranya mereka mahu bertanding selepas umur 21 dan masih bergiat rapat, kita beri sokongan,” katanya.

Beliau berkata, atlet berpengalaman turut berpotensi diserap sebagai jurulatih bagi membantu melahirkan generasi baharu dalam bidang sukan masing-masing.

“Sekiranya ada peluang untuk menjadi jurulatih dan sebagainya, kalau dia sudah sampai ke tahap itu, kalau nak jadi guru latih, kalau ada peluang kita memang akan ambil mereka,” katanya.

Oleh Shahrul Qaizat