Skuad terjun Sarawak tutup tirai penuh bergaya, ‘tapau’ lapan daripada 12 emas

Facebook
WhatsApp
MENTERI Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah , Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak, Mu’azamir Jili dan Timbalan Ketua Kontijen (ACDM) Tan Kun Gee, bergambar bersama pemenang pingat acara terjun.

SHAH ALAM: Acara terjun sekali lagi membuktikan dirinya sebagai lubuk emas Sarawak apabila skuad negeri itu membolot lapan daripada 12 pingat emas yang ditawarkan pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pencapaian itu amat membanggakan selepas pasukan terjun Sarawak berjaya memenuhi harapan yang diletakkan sejak awal temasya.

Katanya, pencapaian itu turut membuktikan Sarawak terus menjadi kuasa utama dalam acara terjun, selepas mengungguli acara sama dengan sembilan pingat emas pada Sukma lalu

.“Daripada 12 pingat emas yang disediakan, Sarawak telah dapat membolot lapan daripada 12 itu. Itu adalah satu kejayaan yang cukup membanggakan.

“Mereka telah memberi harapan kepada kita dari peringkat awal lagi bahawa terjun Sarawak akan sediakan emas yang banyak dan mereka tidak menghampakan,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan acara terjun di Pusat Akuatik Darul Ehsan, di sini hari ini.

Menurut Abdul Karim, selain lapan emas, skuad terjun Sarawak turut menyumbang pingat perak, sekali gus mengukuhkan lagi pencapaian kontinjen negeri dalam acara berkenaan.

Beliau berkata, kejayaan mempertahankan penguasaan dalam dua edisi Sukma berturut-turut itu perlu disusuli dengan usaha mengenal pasti dan membangunkan lebih ramai pelapis bagi memastikan prestasi berkenaan dapat dikekalkan.

“Kita dapat melihat bahawa dalam dua Sukma, Sarawak menggondoli terjun.

“Harapan saya mereka dapat mengenal pasti pelapis-pelapis yang baharu untuk dapat mengekalkan prestasi terjun untuk sukan-sukan yang akan datang, insya-Allah,” katanya.

Abdul Karim berkata, pihak persatuan dan barisan jurulatih perlu terus memainkan peranan dalam pembangunan atlet muda supaya Sarawak tidak hanya bergantung kepada barisan penerjun sedia ada.

Katanya, atlet yang menunjukkan prestasi cemerlang pada Sukma kali ini juga perlu terus dibimbing supaya berpeluang mewakili Malaysia pada kejohanan peringkat antarabangsa.

“Harapan kita mereka dapat diangkat memandangkan mereka telah menunjukkan prestasi yang baik dalam Sukma, diangkat dan terus dibimbing untuk terlibat dalam sukan-sukan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, sokongan kerajaan Sarawak terhadap atlet turut merangkumi insentif bagi mereka yang berjaya mewakili negara pada temasya seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

Lapan emas tersebut disumbangkan menerusi beberapa acara utama, dengan Elvis Priestly menjadi antara penyumbang terbesar apabila meraih emas dalam acara 10 meter platform lelaki, selain turut membantu Sarawak memenangi emas dalam acara 10 meter platform seirama campuran, 10 meter platform seirama lelaki dan 3 meter papan anjal seirama lelaki.

Nur Eilisha Rania turut menyumbang beberapa emas menerusi acara 10 meter platform wanita, 10 meter platform seirama campuran, 10 meter platform seirama wanita serta 3 meter papan anjal seirama wanita.

Beliau turut bergandingan bersama rakan sepasukan dalam memastikan Sarawak mendominasi acara terjun pada temasya kali ini.

Selain itu, emas Sarawak turut disumbangkan menerusi gandingan Jared Aiden Harold dan Elvis Priestly dalam acara 10 meter platform seirama lelaki, Nur Eilisha Rania dan Nurul Farisya Alia dalam acara 10 meter platform seirama wanita, serta gandingan Sharzan dan Dayang Nursharzyra dalam acara 3 meter papan anjal seirama campuran.

Sharzan dan Elvis Priestly kemudian sekali lagi bergandingan untuk emas acara 3 meter papan anjal seirama lelaki.

Oleh Shahrul Qaizat