UNIFOR terus sokong keperluan rumah ibadat bukan Islam di Sarawak

Facebook
WhatsApp
JOHNNY Pang Leong Ming menyerahkan cek peruntukan RM250,000 daripada UNIFOR kepada Reverend Josh Sim Kuan Hui pada majlis penyerahan di Gereja St Thomas Bintulu.

BINTULU: Peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh rumah ibadat bukan Islam bagi memenuhi keperluan pembangunan dan kemudahan masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming berkata, penerima bantuan juga digalakkan mengemukakan permohonan baharu selepas menyelesaikan penggunaan serta pelaporan peruntukan terdahulu.

“Jadi, saya harap anda boleh gunakan wang ini dengan segera. Hantar maklumat berkaitan dengan segera dan anda boleh meminta lebih banyak selepas itu, apabila sudah selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan peruntukan UNIFOR kepada Persatuan Penganut Kristian Pengharapan Bintulu (Hope Bintulu) di Gereja Hope Bintulu, hari ini.

Johnny Pang berkata, Hope Bintulu menerima RM95,000 menerusi permohonan pertamanya kepada UNIFOR, yang disifatkannya sebagai permulaan kepada usaha mengembangkan gereja berkenaan.

Beliau turut menggalakkan rumah ibadat berkenaan mengemukakan permohonan kepada UNIFOR bagi keperluan kemudahan lain mengikut kesesuaian.

JOHNNY Pang Leong Ming menyerahkan cek peruntukan RM95,000 daripada UNIFOR kepada Persatuan Penganut Kristian Pengharapan Bintulu (Hope Bintulu) di Gereja Hope Bintulu.

Tambahnya, kerajaan Sarawak memperuntuk kira-kira RM100 juta setahun menerusi UNIFOR untuk membantu rumah ibadat bukan Islam, termasuk gereja, kuil dan rumah ibadat agama lain.

Dalam pada itu, Johnny Pang turut menyampaikan peruntuk RM250,000 kepada St Thomas Parish Bintulu dalam program berasingan hari ini.

Beliau berkata, bantuan seumpama itu mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memastikan tiada komuniti diketepikan.

Ujarnya, kepelbagaian agama dan budaya merupakan antara kekuatan Sarawak yang perlu terus dipelihara demi memastikan negeri itu kekal harmoni.

Oleh Carolyne Utih