KOTA SAMARAHAN: Sebuah menara komunikasi di Bukit Berangan, Kota Samarahan terbakar dalam kejadian petang tadi, namun tiada mangsa dilaporkan.
Komander Operasi, PBK II Hussein Tekok berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 6.24 petang sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan tiba di lokasi pada 6.39 petang.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati kebakaran bermula dari kotak suis sebelum merebak ke struktur menara komunikasi berkenaan.
“Anggota pada awalnya melakukan pemadaman menggunakan alat pemadam api, namun api semakin marak.

“Operasi kemudian diteruskan menggunakan kenderaan utiliti Hilux yang membawa pam terapung dengan membentangkan satu aliran hos sepanjang 300 kaki serta satu nozel,” katanya.
Beliau berkata, sumber air untuk operasi pemadaman diperoleh daripada kolam berhampiran lokasi kejadian.
Kebakaran berjaya dikawal pada 8.30 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 9.15 malam selepas pemeriksaan mendapati tiada lagi punca api.
Seramai 11 anggota BBP Kota Samarahan terlibat dalam operasi berkenaan dengan menggunakan sebuah jentera Jentera Penyelamat dan Pemadam Kebakaran (FRT) serta sebuah kenderaan utiliti Hilux.
Turut berada di lokasi ialah petugas Sesco dan pihak Telekom.
Oleh Afiq Sallehi





