KAJANG: Skuad memanah Sarawak menutup kempen Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026 dengan pencapaian membanggakan selepas mengumpul tiga pingat emas, dua perak dan dua gangsa, sekali gus melepasi sasaran dua emas yang ditetapkan.
Saingan yang berlangsung dari 17 hingga 22 Ogos di Stadium INSPEN menyaksikan Sarawak tampil konsisten dalam beberapa acara utama, termasuk menerusi pemanah muda Joey Tan Xing Lei yang terus membuktikan keupayaannya di pentas Sukma.
Joey, yang merupakan pemenang emas pada edisi 2024, menghadiahkan emas pertama Sarawak menerusi acara recurve 70 meter wanita.
Sarawak kemudian menambah dua lagi emas pada hari ketiga pertandingan menerusi acara compound berpasukan campuran dan compound berpasukan wanita.
Gandingan Eason Lau Hui Wan dan Wee Yi Qi menghadiahkan emas kedua selepas menewaskan pasangan Kedah dalam acara compound berpasukan campuran.


SKUAD memanah Sarawak bergambar bersama Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Mu’azamir Jili.
Sementara itu, Aira Nadirah, Nur Zara Aisyah dan Yi Qi menyumbangkan emas ketiga selepas menundukkan wakil Terengganu dalam acara compound berpasukan wanita.
Selain tiga emas, Joey turut menyumbang pingat perak dalam acara recurve perseorangan wanita, manakala satu lagi perak diraih trio compound berpasukan lelaki menerusi Eason Lau, Ryan Yong dan Zhorif Fahim.
Yi Qi menambah koleksi gangsa Sarawak dalam acara compound perseorangan wanita, manakala satu lagi gangsa diraih skuad recurve berpasukan lelaki menerusi Pok Hoe En, Melvin Tieh Xuan Ruey dan Darren Chua Huay Zhe selepas mengetepikan cabaran Sabah.
Pencapaian itu menyaksikan skuad memanah Sarawak bukan sahaja mencapai sasaran yang ditetapkan, malah berjaya melangkah lebih jauh dengan membawa pulang tujuh pingat keseluruhan.
Hadir menyaksikan saingan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Mu’azamir Jili dan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan.
Oleh Shahrul Qaizat




