Mia mara ke final penuh bergaya, emas jadi sasaran terakhir

Facebook
WhatsApp
MISI EMAS...Atlet Muay Thai Sarawak, Emylia Lynn Ghazali Zulfikar, beraksi penuh bertenaga ketika menewaskan wakil Sabah, Yong Feng Yue, 30-14 untuk mara ke final acara wanita 42-45kg Sukma XXII Selangor 2026 di Klang, hari ini. Foto UKAS

KLANG: Atlet Muay Thai Sarawak, Emylia Lynn Ghazali Zulfikar, semakin hampir merealisasikan impian emas selepas menempah tiket ke final acara wanita 42-45 kilogram (kg) pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026, hari ini.

Emylia Lynn, 15, atau lebih mesra dipanggil Mia, menampilkan aksi agresif dan kemas untuk menundukkan wakil Sabah, Yong Feng Yue, dengan keputusan 30-14 pada aksi separuh akhir di Pusat Beli Belah KSL Esplanade, di sini.

Kemenangan dengan kelebihan 16 mata itu membolehkan Mia mengesahkan sekurang-kurangnya pingat perak, sekali gus meletakkannya hanya selangkah daripada kilauan emas buat kontinjen Sarawak.

BERGAYA KE FINAL… Atlet Muay Thai Sarawak, Emylia Lynn Ghazali Zulfikar, meraikan kemenangan selepas menewaskan wakil Sabah, Yong Feng Yue, 30-14 pada aksi separuh akhir acara wanita 42-45kg Sukma XXII Selangor 2026 di Pusat Beli Belah KSL Esplanade, Klang, hari ini. Foto UKAS

Aksi Mia turut mendapat sokongan padu penyokong Sarawak yang tidak henti-henti memberikan sorakan dari luar gelanggang, termasuk kedua-dua ibu bapanya yang hadir menyaksikan pertarungan tersebut.

Lebih bermakna, abangnya, Jojo, turut berada di sudut gelanggang sebagai pembimbing penjuru, memberikan arahan serta suntikan semangat sepanjang pertarungan.

Sokongan keluarga dan penyokong itu nyata menjadi pembakar semangat buat Mia apabila beliau kekal fokus mengawal rentak pertarungan sehingga wisel penamat, sekali gus mengesahkan kemenangan bergaya.

PEMBAKAR SEMANGAT… Jojo dan Miki tidak ketinggalan memberikan sokongan kepada Mia ketika atlet Muay Thai Sarawak itu beraksi pada separuh akhir acara wanita 42-45kg Sukma XXII Selangor 2026 di Pusat Beli Belah KSL Esplanade, Klang, hari ini. Foto UKAS

Pada aksi final, Mia bakal berdepan wakil Johor, Damia Husna Azian yang menewaskan Nur Arisya Sofia Abdullah dari Wilayah Persekutuan 22-18 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Dengan tiket final sudah dalam genggaman, Mia kini menggalas misi terakhir untuk menukar pingat perak yang sudah berada dalam jaminan kepada emas buat Sarawak.

Oleh Shahrul Qaizat