Kompleks Sukan Serian dinaik taraf RM4.26 juta, siap September 2027

Facebook
WhatsApp
MAJLIS pecah tanah projek naik taraf Kompleks Sukan Serian telah disempurnakan ADUN Bukit Semuja, John Ilus, sekali gus menandakan bermulanya usaha menaik taraf kompleks itu secara menyeluruh. Foto JKR Sarawak

SERIAN: Kompleks Sukan Serian bakal tampil dengan wajah baharu menerusi projek naik taraf kemudahan sukan bernilai RM4.259 juta yang dijangka siap pada September 2027.

Majlis pecah tanah projek berkenaan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus, sekali gus menandakan bermulanya usaha menaik taraf kompleks itu secara menyeluruh.

Projek bernilai RM4,259,900 itu dilaksanakan dalam tempoh 15 bulan bermula 19 Jun lalu hingga 18 September 2027 oleh kontraktor Pembina Tenaga Bumi Sdn Bhd, menggunakan reka bentuk yang dibangunkan sendiri.

Antara tarikan utama projek ialah pembinaan trek larian baharu mengikut piawaian Olahraga Dunia menggunakan ‘Sandwich System’, sekali gus menyediakan kemudahan olahraga yang lebih berkualiti dan bertaraf antarabangsa.

Kemudahan acara padang turut dibina semula meliputi lontar peluru, lempar cakera, rejam lembing, lari berhalangan, lompat jauh, lompat kijang dan lompat bergalah.

Padang bola sepak pula bakal dipertingkat menerusi pemasangan sistem saliran bawah tanah (subsoil drainage) bagi memperbaiki keadaan serta kualiti permukaan padang.

Kerja naik taraf turut merangkumi pembaikan tandas sedia ada serta pemotongan pokok di sekitar kawasan kompleks.

Setakat ini, kerja di tapak sedang rancak dengan aktiviti mengorek trek dan padang lama, selain kerja menembok tanah bagi tapak baharu fasiliti lompatan.

Apabila siap kelak, Kompleks Sukan Serian dijangka menjadi pusat sukan yang lebih lengkap, moden dan selamat, sekali gus memberi ruang lebih baik kepada atlet serta komuniti setempat untuk berlatih dan menjalankan aktiviti sukan.

Naik taraf itu juga dilihat mampu menyemarakkan budaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat Serian, selain membantu mencungkil dan mengembangkan bakat atlet muda di kawasan berkenaan.

Oleh Adi Safarman