KOTA SAMARAHAN: Rasa yang dijaga menjadi tali pengikat antara Muliati Dasiry dengan pelanggannya, sehingga sekali mencuba membuka jalan untuk mereka kembali mencari produk berasaskan ikan yang diusahakannya.
“Rasa perlu konsisten dan kita juga menyediakan pilihan biasa serta premium yang mempunyai rasa ikan lebih kuat,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak, hari ini.
Tujuh tahun menekuni perusahaan itu mengajar Muliati bahawa berniaga bukan sekadar menghasilkan sesuatu untuk dijual, tetapi menjaga rasa agar kekal diingati dan dicari pelanggan.
Baginya, pelanggan yang kembali membeli membawa makna lebih besar daripada sekadar jualan kerana di situlah terletaknya tanda kepercayaan terhadap hasil tangannya.
“Alhamdulillah, sambutan menggalakkan. Paling penting apabila pelanggan sudah rasa keropok kita, mereka datang dan beli semula,” katanya.


Daripada keropok lekor biasa hingga premium, Muliati menyediakan pilihan mengikut cita rasa pelanggan, termasuk keropok sejuk beku dengan rasa asli ikan serta sentuhan lada hitam.
Tangannya turut mengolah hasil laut menjadi keropok kering berasaskan ikan tamban dan terubok serta keropok sotong, selain otak-otak berdaun, otak-otak gulung, sata dan sata gulung.
Di sebalik setiap adunan itu, Muliati turut memilih bahan mentah daripada beberapa tempat, antaranya ikan terubok dari Beladin dan sotong dari Bako, manakala ikan tamban diperoleh menerusi pembekal dari Sabah.
Tujuh tahun mungkin bukan perjalanan yang singkat, namun daripada satu adunan ke satu adunan, Muliati terus membina namanya perlahan-lahan dengan satu pegangan, jangan biarkan rasa berubah dan jangan berhenti melangkah.


Kini, impiannya bukan sekadar melihat produknya terus dicari pelanggan, tetapi mahu membawanya menembusi pasaran lebih luas di seluruh Sarawak sebelum melangkah lebih jauh.
“Harapan kami supaya produk keropok ini dapat memenuhi pasaran seluruh Sarawak. Sasaran kami memang mahu memenuhi pasaran Sarawak dahulu sebelum keluar dari Sarawak,” katanya.
Bagi Muliati, berniaga tidak menjanjikan jalan yang sentiasa mudah. Ada masa langkah terasa perlahan, namun konsistensi membuatkan sebuah usaha kecil terus dikenali.
“Macam buka kedai, kalau sekejap buka, sekejap tutup, orang tidak tahu bila kita berniaga. Begitu juga dalam perniagaan, apabila kita konsisten, orang akan tahu produk yang kita hasilkan,” katanya.
Daripada menjaga rasa kepada membina kepercayaan, perjalanan Muliati membuktikan bahawa sesuatu yang diusahakan dengan tekun mampu menemukan jalannya sendiri kepada pelanggan.
Oleh Norman B





