JPL tinjau lokasi pemasangan Lampu Pemandu, Tanda Alur

Facebook
WhatsApp
TINJAU... Anggota JPL ketika melaksanakan Program Peninjauan Tapak Cadangan Lampu Pemandu dan Tanda Alur di beberapa lokasi perairan, semalam.

MIRI: Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPL) mengambil langkah proaktif untuk memperkukuh aspek keselamatan komuniti nelayan menerusi Program Peninjauan Tapak Cadangan Lampu Pemandu dan Tanda Alur di beberapa lokasi perairan di sini, semalam.

Menurut kenyataan JPL yang dimuat naik di Facebook rasminya hari ini, peninjauan itu memberi tumpuan kepada beberapa lokasi strategik, khususnya laluan perairan yang kerap digunakan oleh komuniti nelayan di sekitar Lutong dan Kuala Baram.

“Hasil peninjauan mendapati terdapat keperluan untuk memperkemas aspek keselamatan serta penandaan laluan perairan bagi memudahkan pergerakan nelayan, terutama di kawasan yang mempunyai laluan aktif.

“Antara lokasi yang dikenal pasti ialah kawasan Benteng Pangkalan Batu Satu yang berpotensi untuk pemasangan Lampu Pemandu bagi membantu memberikan panduan kepada pengguna laluan perairan,” menurut kenyataan itu.

TURUN PADANG… Anggota JPL ketika berada di darat di salah satu lokasi untuk melakukan kerja peninjauan tapak cadangan lampu pemandu dan tanda alur, semalam.

Tambahnya, program peninjauan berkenaan mencerminkan usaha berterusan JPL dalam memastikan aspek keselamatan pelayaran serta kebajikan komuniti nelayan terus diberi perhatian, khususnya di kawasan perairan yang aktif digunakan.

“Langkah tersebut juga diharap dapat membantu mewujudkan laluan perairan yang lebih selamat dan teratur untuk kegunaan komuniti nelayan di sekitar Miri.

“Selain itu, Kuala Sungai Pasu turut dikenal pasti sebagai lokasi berpotensi untuk pemasangan Lampu Pemandu atau Tanda Alur bagi meningkatkan tahap keselamatan nelayan yang menggunakan laluan berkenaan,” jelas kenyataan itu lagi.

Program berkenaan diketuai Ketua Wilayah Perikanan III, Miri, Muhammad Saini Suliansa, bersama kakitangan Pejabat Perikanan Laut Wilayah III, Miri.

Turut menyertai program berkenaan ialah Ketua Jaringan Perikanan (KJP) Pangkalan Batu Satu/Kampung Pangkalan Lutong, Sulaiman Onus, dan KJP Pangkalan Kampung Kuala Baram, Ismawi Fauzi.

Oleh Adum Liu