Wanita PBB Zon Tengah disaran siap siaga hadapi PRN Sarawak

Facebook
WhatsApp
SHARIFAH...Menyempurnakan program SKE 3.0 Bersama Wanita PBB Zon Tengah di salah sebuah hotel terkemuka hari ini.

SIBU: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Tengah disaran membuat persiapan rapi dan memperkemas gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

Timbalan Ketua II Pergerakan Wanita PBB Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, berkata persiapan awal penting memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dijangka terbubar secara automatik pada Februari 2027.

Beliau berkata, jentera wanita di setiap cawangan perlu memahami peranan masing-masing, selain mengetahui perkembangan serta inisiatif kerajaan yang dipimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Jadi, kita sebagai jentera wanita mesti bersiap siaga untuk menghadapi pilihan raya. Kita perlu tahu perkara asas seperti jumlah pengundi di setiap cawangan, demografi pengundi dan gerak kerja yang perlu dilaksanakan.

“Kalau boleh, di peringkat cawangan mulakan bengkel kecil bersama ketua cawangan untuk membuat semakan semula daftar pemilih dan mengingatkan kembali perkara yang perlu dilaksanakan ketika pilihan raya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sarawak Kita Empun (SKE) 3.0 Bersama Wanita PBB Zon Tengah di sebuah hotel di sini, hari ini.

Sharifah, yang juga Timbalan Menteri Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan, berkata Pergerakan Wanita memainkan peranan penting di peringkat akar umbi, khususnya dalam mendekati pengundi serta memastikan gerak kerja parti dilaksanakan dengan berkesan ketika pilihan raya.

UNTUK KENANGAN…Sharifah merakam kenangan pada program SKE 3.0 Bersama Wanita PBB Zon Tengah di salah sebuah hotel terkemuka, hari ini.

“Menang atau kalah parti dan calon kita terpikul di bahu jentera parti. Bukan agensi kerajaan atau kementerian yang menentukan kemenangan, tetapi jentera parti.

“Pergerakan wanita mempunyai kelebihan kerana kita dapat turun padang, masuk ke rumah-rumah dan mendekati masyarakat secara lebih dekat,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan jentera Wanita PBB supaya meningkatkan mutu gerak kerja dan tidak hanya bergantung kepada kaedah yang digunakan pada pilihan raya terdahulu.

“Kita perlu buat kerja dengan lebih baik pada setiap pilihan raya. Kita perlu meningkatkan cara kita bekerja, melaksanakannya dengan betul, profesional dan penuh komitmen agar Pergerakan Wanita terus mantap dan dihormati.

“Sudah tiba masanya kita menunjukkan bahawa wanita bukan lemah. Kita adalah satu barisan yang bersatu, mampu melaksanakan tugas dan bersedia menghadapi pilihan raya dengan penuh keyakinan serta bekerja keras,” katanya.

Dalam pada itu, Sharifah menegaskan bahawa kekuatan parti di peringkat akar umbi perlu terus diperkukuh dengan ilmu pengetahuan, khususnya berkaitan dasar serta pencapaian kerajaan Sarawak.

Katanya, program SKE antara lain bertujuan memperkukuh jentera Wanita PBB melalui penyampaian maklumat, ilmu dan pengetahuan supaya anggota parti dapat menerangkan inisiatif kerajaan kepada masyarakat dengan lebih baik.

“Wanita perlu tahu apa yang telah dibawa oleh kerajaan yang dipimpin GPS dan ditunjangi PBB. Kita bukan sahaja turun padang, tetapi perlu mempunyai ilmu supaya apabila masyarakat bertanya, kita dapat menjelaskan apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan,” ujarnya.

UNTUK KENANGAN…Sharifah merakam kenangan pada program SKE 3.0 Bersama Wanita PBB Zon Tengah di salah sebuah hotel terkemuka, hari ini.

Beliau turut mengingatkan anggota Wanita PBB supaya mengutamakan perpaduan dalam parti dan mengelakkan sebarang perpecahan yang boleh menjejaskan kekuatan jentera.

“Musuh kita sebenarnya ialah perpecahan yang berlaku dalam GPS jika ada dan dalam parti kita jika ada. Itu mesti kita elakkan.

“Walaupun terdapat pelbagai cabaran dan perbezaan, apabila tiba masa penting seperti pilihan raya, kita perlu bersatu dan bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan PBB terus kukuh,” katanya.

Sharifah turut merakamkan penghargaan kepada semua ketua dan anggota Wanita PBB daripada 24 cawangan Zon Tengah serta penceramah yang berkongsi ilmu sepanjang program berkenaan.

Beliau berkata, komitmen yang ditunjukkan oleh anggota Wanita PBB membuktikan kesungguhan mereka untuk terus memperkukuh perjuangan parti di peringkat akar umbi.

“Terima kasih dan tahniah kepada semua Wanita PBB di 24 cawangan Zon Tengah. Semangat yang ditunjukkan ini amat saya hargai dan saya yakin dengan semangat sebegini, jentera wanita mampu terus memainkan peranan penting kepada parti,” katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Wanita I Pergerakan Wanita PBB Sarawak merangkap Ketua Wanita Cawangan PBB N.63 Bukit Goram Dato Angelina Ujang, Setiausaha Pergerakan Wanita PBB Sarawak merangkap Ahli Dewan Negara Senator Susan Chemerai Anding, Bendahari Pergerakan Wanita PBB Sarawak merangkap Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak PS Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim, Pengerusi Penganjur SKE 3.0 Bersama Wanita PBB Zon Tengah Datin Sri Sharifah Zaidah Syed Abdul Aziz serta tetamu yang lain.

Oleh Akun Giman