KOTA SAMARAHAN: Di tangan yang kreatif, sekeping kayu bukan sekadar bahan mentah, tetapi boleh berubah menjadi cenderahati bernilai, membawa nama, kenangan dan penghargaan buat penerimanya.
Itulah sentuhan yang dibawa Hamidah Mokhtar menerusi Aangus Craft, apabila memilih kayu sebagai ‘kanvas’ kreativiti untuk menghasilkan cenderahati korporat menggunakan teknologi laser.
Daripada plak penghargaan dan bingkai kenang-kenangan hinggalah jam hiasan, trofi mini, figura, buku nota berkulit kayu serta pelbagai rekaan tempahan khas, setiap produk tampil dengan ukiran dan identiti tersendiri.
Bahan mentah diperoleh daripada pembekal tempatan sebelum diolah mengikut kreativiti serta kehendak pelanggan, menjadikan setiap tempahan tidak sekadar sebuah cenderahati, tetapi sesuatu yang mempunyai nilai sentimental.
Usaha itu ternyata mendapat sambutan apabila produk Aangus Craft menerima permintaan menggalakkan khususnya daripada agensi kerajaan dan sekolah.

“Alhamdulillah, permintaan daripada agensi kerajaan dan sekolah memang sangat memberangsangkan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Namun bagi Hamidah, perjalanan Aangus Craft bukan sekadar mengejar jualan.
Sejak tahun lalu, beliau turut berkongsi kemahiran dengan golongan ibu tunggal menggunakan potongan kayu lebihan daripada tempahan untuk menghasilkan kraf seperti penunjuk mengaji dan gantungan kunci.
Hasil tangan berkenaan kemudiannya dibeli semula oleh Aangus Craft untuk dipasarkan, sekali gus memberi nilai kepada kreativiti mereka dan membuka ruang menjana pendapatan.
Kini, Hamidah mahu membawa langkah itu lebih jauh menerusi perancangan melancarkan sebuah akademi bagi membuka peluang kepada lebih ramai individu mempelajari kemahiran menghasilkan kraf berasaskan kayu.
Beliau percaya bidang itu mempunyai ruang luas untuk diterokai kerana dengan kreativiti serta strategi pemasaran yang baik, kayu yang sederhana sifatnya mampu berubah menjadi produk bernilai.
“Usaha seperti ini boleh diceburi ramai orang kerana marginnya besar dan ia bergantung kepada bagaimana kita memasarkannya,” katanya.

Perjalanan Aangus Craft turut diperkukuh menerusi bantuan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), yang membolehkan perniagaan itu memperoleh tiga mesin.
Pada awal tahun ini, Aangus Craft turut menerima geran SME Corp B-Plus bagi mendapatkan tiga mesin laser CO2 bersaiz besar untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran.
Bagi Hamidah, teknologi mungkin memudahkan kerja mengukir dan membentuk kayu, namun sokongan masyarakat terhadap produk tempatan menjadi nadi yang memastikan perusahaan seperti itu terus berkembang.
Justeru, beliau berharap agensi kerajaan dan sekolah di seluruh Sarawak terus memberi ruang kepada hasil tangan komuniti serta usahawan tempatan.
“Harapan kami supaya agensi dan sekolah di Sarawak dapat membeli daripada komuniti tempatan kita sendiri, supaya dapat menyokong usahawan tempatan,” katanya.
Daripada sekeping kayu kepada sebuah kenangan, Aangus Craft membuktikan kreativiti mampu memberi nilai kepada sesuatu yang sederhana, malah membuka pintu rezeki kepada lebih ramai insan.
Oleh Norman B





