WhatsApp komuniti perkasa keselamatan Batu Kitang

Facebook
WhatsApp
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang ketika berucap pada Program Dialog Agensi Penguatkuasaan Tempatan Bersama Komuniti di Open University Malaysia (OUM) Kuching, hari ini. Foto Adele Rissa

KOTA PADAWAN: Tiga kumpulan WhatsApp komuniti diwujudkan di kawasan Batu Kitang bagi membolehkan penduduk menyalurkan maklumat berkaitan keselamatan dan aktiviti mencurigakan secara terus kepada pihak polis.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang, berkata kumpulan berkenaan diwujudkan menerusi inisiatif ‘Neighborhood Watch’ dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan pihak polis.

Menurutnya, tiga kumpulan WhatsApp itu melibatkan penduduk di kawasan Batu Tiga, Batu Enam dan Batu 10, manakala anggota polis turut menyertai kumpulan berkenaan bagi memudahkan maklumat disalurkan untuk tindakan segera.

“Konsep ‘Neighborhood Watch’ ini ialah kita saling menjaga. Awak jaga saya, saya jaga awak.

“Kalau nampak sesuatu yang tidak kena, ambil gambar dan masukkan ke dalam kumpulan. Dalam kumpulan itu juga ada pihak polis, jadi maklumat boleh disampaikan secara terus untuk tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Dialog Agensi Penguatkuasaan Tempatan Bersama Komuniti di Open University Malaysia (OUM) Kuching, hari ini.

Lo berkata keberkesanan pendekatan itu dapat dilihat menerusi satu kejadian di kawasan Jalan Arang baru-baru ini apabila seorang individu yang dilihat berada di beberapa lokasi menimbulkan kecurigaan penduduk.

Jelasnya, penduduk kemudian mengambil gambar individu berkenaan dan berkongsi maklumat tersebut dalam kumpulan WhatsApp komuniti sebelum pihak polis yang turut menyertai kumpulan itu mengambil tindakan susulan.

“Polis terus menghantar anggota ke kawasan berkenaan untuk membuat pemeriksaan dan individu itu akhirnya beredar.

“Kita bukan cuba menangkap penjenayah. Kita bukan polis. Peranan ‘Neighborhood Watch’ ialah untuk saling melindungi dan memaklumkan kepada polis jika nampak sesuatu yang tidak kena,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pendekatan tersebut bukan bertujuan menggantikan peranan pihak berkuasa, sebaliknya memperkukuh kerjasama antara masyarakat dengan polis dalam usaha mencegah jenayah.

Beliau berkata, buat masa ini pihaknya mengehadkan penubuhan kumpulan berkenaan kepada tiga bagi memastikan pengurusan dan pemantauan dapat dilakukan dengan berkesan.

Bagaimanapun, katanya, jumlah keahlian akan ditambah secara berperingkat bagi membolehkan lebih ramai penduduk menyertai inisiatif tersebut.

“Kita tidak boleh mengatakan kita mampu menghapuskan semua jenayah, tetapi saya yakin kita boleh mengurangkannya melalui ‘Neighborhood Watch Committee’,” katanya.

Beliau turut menggalakkan masyarakat menggunakan platform dialog berkenaan untuk mengemukakan sebarang persoalan, kebimbangan dan masalah berkaitan keselamatan di kawasan masing-masing.

Katanya, maklum balas daripada komuniti penting bagi membantu pihak berkuasa memahami isu setempat dan mengambil langkah sewajarnya bagi menanganinya.

Oleh Adele Rissa