Sokongan PPDK perkasa peluang pemulihan, pendidikan golongan OKU

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato' Sri Huang Tiong Sii bergambar bersama warga PPDK Sarikei dan Kelab Lions Sarikei. Foto Pusat Khidmat Repok

SARIKEI: Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) perlu terus diberikan akses kepada pemulihan, pendidikan dan latihan yang bersesuaian bagi membantu mereka mengembangkan potensi serta menjalani kehidupan lebih baik dalam komuniti.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sarikei memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan, latihan dan bimbingan kepada golongan tersebut.

Katanya, sokongan berterusan daripada masyarakat dan pelbagai pihak penting bagi memastikan PPDK dapat meneruskan program yang memberi manfaat kepada golongan OKU serta keluarga mereka.

“Bantuan ini diharap dapat meringankan beban keluarga dan memberi semangat kepada anak-anak untuk terus belajar serta mengikuti aktiviti yang disediakan,” katanya.

Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Beg Sekolah di PPDK Sarikei, baru-baru ini.

Di majlis tersebut, sebanyak 80 beg sekolah sumbangan beliau diagihkan kepada penerima bagi membantu memenuhi keperluan pembelajaran mereka.

Selain itu, 80 set alat tulis sumbangan Kelab Lions Sarikei turut disampaikan, melengkapkan bantuan pendidikan kepada penerima.

Tambahnya, usaha tersebut bukan sahaja membantu dari segi keperluan pembelajaran, malah diharap dapat memberikan dorongan kepada penerima untuk terus mengambil bahagian dalam program pendidikan, pemulihan dan latihan yang disediakan PPDK.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kelab Lions Sarikei atas sumbangan tersebut dan semua pihak yang selama ini memberikan sokongan kepada PPDK Sarikei.

“Kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan bagi mewujudkan persekitaran komuniti yang lebih menyokong keperluan golongan OKU dan memastikan mereka terus mendapat peluang sewajarnya.

Pada majlis sama, beliau turut menyumbangkan RM10,000 kepada PPDK Sarikei sebagai sokongan terhadap usaha pertubuhan itu dalam menyediakan perkhidmatan dan melaksanakan program untuk golongan OKU dalam komuniti.

Oleh Earl Anek