LIMBANG: Bencana Tahap 1 diisytiharkan di Daerah Limbang susulan kejadian ribut dan angin kencang yang melanda kawasan bandar Limbang pada Rabu lalu.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata perisytiharan itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Limbang Sulaiman Engal pada mesyuarat bencana di daerah ini.
“Ribut yang berlaku kira-kira setengah jam menyebabkan banyak rumah persendirian, dewan, sekolah rosak termasuk bumbung di Dewan Suarah dan JPBD Limbang telah pun mengisytiharkan sebagai bencana tahap satu.
“Kita akan cuba membantu melalui Jawatankuasa Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan juga Jawatankuasa Bencana Malaysia (NADMA) dan kita sedang mengumpul data-data serta maklumat-maklumat untuk disampaikan peringkat atasan untuk dibantu,” katanya pada Majlis Penangguhan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Bahagian Limbang Tahun 1448H/2026M di Dewan Suarah Limbang pada semalam.
ADUN Bukit Kota itu memberitahu, kejadian ribut dan angin kencang yang berlaku kira-kira 1.30 petang Rabu menjejaskan 10 kampung di kawasan bandar Limbang.Kejadian itu katanya turut menyebabkan banyak kerosakan kediaman, dewan, bangunan kerajaan dan premis perniagaan selain menyebabkan pokok tumbang.
Beliau turut memberitahu, JPBD Limbang menilai kerosakan terbabit untuk tindakan dan bantuan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Jawatankuasa Bencana peringkat Persekutuan yang dikenali sebagai NADMA.
Dr Abdul Rahman juga mahu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga diminta untuk membantu membaik pulih kerosakan pemilik rumah yang terjejas sebelum bantuan diberikan JPBN Sarawak.
Terdahulu Dr Abdul Rahman bersama Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Pegawai Daerah Limbang yang juga Pengerusi JPBD Limbang Sulaiman Engal turut mengadakan lawatan ke Dewan Bunga Raya bagi meninjau kerosakan akibat ribut, hari ini.
Oleh Adeng Edrus





