LIMBANG: Kemajuan teknologi dan kecanggihan kecerdasan buatan (AI) ketika ini perlu dimanfaatkan untuk tujuan kebaikan agar tidak menghakis nilai moral, akhlak dan adab sesama manusia.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata teknologi digital terus mempengaruhi hampir setiap aspek kehidupan moden dan seharusnya menjadi alat membantu manusia, bukan menggantikan nilai kemanusiaan itu sendiri.
“Dunia hari ini berubah dengan sangat pantas. Kemajuan teknologi telah mengubah cara manusia bekerja, belajar, berkomunikasi dan menjalani kehidupan.
“Kecerdasan buatan, automasi dan ekonomi digital akan terus membuka peluang baharu kepada masyarakat.
Namun di tengah-tengah kemajuan ini, ada sesuatu yang tidak boleh kita kehilangan iaitu nilai kemanusiaan.
“Kemajuan tidak boleh menyebabkan manusia menjadi semakin jauh antara satu sama lain. Teknologi tidak boleh menyebabkan kita kehilangan adab dan akhlak,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail pada Majlis Penangguhan Tilawah al-Quran Peringkat Bahagian Limbang Tahun 1448H/2026M di Dewan Suarah Limbang semalam.
Awang Tengah menambah persaingan ekonomi tidak boleh menyebabkan manusia kehilangan belas kasihan dan kejayaan tidak boleh menyebabkan manusia melupakan mereka yang masih memerlukan bantuan.
“Umat Islam perlu memahami perbezaan antara maju dan makmur,” ujarnya.
Menurutnya masyarakat mungkin maju dari sudut teknologi, tetapi belum tentu makmur dari sudut kehidupan.
Katanya sebuah negeri mungkin mempunyai ekonomi yang besar, tetapi kemakmuran sebenar hanya berlaku apabila kemajuan tersebut dapat meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.
Pada majlis itu seramai enam orang qari dan enam orang qariah dari Limbang dan Lawas bertanding pada tahun ini.
Mohammad Wardi Nordin dan Ezza Nurumaiza Japarudin masing-masing dari Lawas berjaya merangkul johan qari dan qariah pada pertandingan itu.
Selaku juara, mereka membawa pulang wang tunai RM4,000 berserta plak dan sijil.
Turut hadir, Residen Bahagian Limbang yang juga Pengerusi Pengelola Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Bahagian Limbang Unus Tambi, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pegawai Tadbir Agama Islam Bahagian Limbang Asikurahman Othman dan kenamaan tempatan lainnya.
Oleh Adeng Edrus




