SIMANGGANG: Penjara Pusat Sri Aman mencatat kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai johan keseluruhan Program Ruang Ekspresi Kreatif dan Apresiasi Bahasa (REKA) Zon Sarawak 2026 yang berlangsung dari 18 hingga 20 Ogos lalu.
Menurut kenyataan media Penjara Malaysia, program berkenaan berlangsung di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak, Miri, dengan menghimpunkan peserta bagi mempertandingkan empat kategori, iaitu Teater Muzikal, Sajak, Syair dan Lagu Puisi.
Program REKA bertujuan mencungkil serta mengembangkan bakat, kreativiti dan keyakinan diri prospek sebagai sebahagian daripada proses pemulihan serta persediaan mereka untuk kembali ke dalam masyarakat.
Penjara Pusat Sri Aman tampil cemerlang menerusi penyertaan 14 prospek bersama jurulatih yang terlibat, hasil usaha, dedikasi dan kerjasama berpasukan yang akhirnya membuahkan kejayaan sebagai johan keseluruhan.
Dalam kategori Syair, wakil Penjara Pusat Sri Aman muncul sebagai johan, manakala kategori Lagu Puisi berjaya meraih tempat kedua.
Bagi kategori Teater Muzikal pula, pasukan berkenaan memperoleh tempat ketiga, sementara kategori Sajak, mereka menerima anugerah saguhati.
Pencapaian tersebut membuktikan bahawa program berbentuk kreativiti dan kesenian mampu menjadi medium penting dalam membentuk sahsiah, meningkatkan kemahiran sosial serta membina keyakinan diri prospek.
Secara keseluruhannya, Program REKA Zon Sarawak 2026 berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dengan memberi impak positif terhadap pembangunan diri peserta menerusi ruang untuk menampilkan bakat dan kreativiti masing-masing.
Kejayaan itu turut mengharumkan nama Penjara Pusat Sri Aman, selain menjadi suntikan semangat kepada semua peserta yang terlibat dalam usaha meneruskan proses pemulihan dan membina keyakinan diri sebelum kembali menyumbang kepada masyarakat.
Oleh Adi Safarman




