BINTULU: Seorang lelaki maut selepas kereta Proton Preve yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Persisir Bintulu-Samalaju, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 8.41 pagi itu, mangsa ditemukan tersepit di tempat duduk pemandu.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong tiba di lokasi pada 9.13 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Proton Preve dan sebuah lori.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi dikawal pada 9.45 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada 10.00 pagi selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat.
Operasi itu membabitkan lima anggota BBP Kidurong bersama sebuah jentera CFRT, dengan bantuan tujuh anggota polis dan tiga petugas KKM.
Oleh Faizah Muzidi





