KUCHING: Penggunaan vaksin CanSino dari China yang satu-satunya vaksin Covid-19 yang menggunakan satu dos diyakini mampu membantu sasaran Sarawak mencapai 80 peratus imuniti kelompok menjelang Ogos depan.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing (gambar) berkata, ini kerana vaksin yang telah diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA).
Menurutnya, vaksin CanSino juga sangat sesuai untuk digunakan bagi populasi yang menetap di kawasan pedalaman di negara ini.
“Jadi, kita berharap permohonan Sarawak untuk mendapatkan vaksin CanSino ini akan dipertimbangkan dengan baik.
“Sekiranya vaksin dos tunggal CanSino ini dipersetujui Kuala Lumpur untuk kegunaan negeri ini dengan jumlah vaksin diperlukan, kita yakin dapat mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok menjelang 21 Ogos depan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, vaksin Covid-19 yang satu-satunya menggunakan satu dos itu akan memanfaatkan 3.5 juta penduduk negara ini atau meliputi 10.9 peratus dengan pembekalan kedua sebanyak 350,000 dos.
Dr. Adham berkata, pemberian vaksin CanSino itu akan difokuskan kepada penerima di kawasan pedalaman dan mereka yang sukar dicari atau mana-mana individu yang tidak ada keupayaan untuk datang dua kali bagi mendapatkan vaksin dari jenis dua dos.
Oleh JEAKQLEYN YACHO