Ringgit dijangka alami aktiviti ambil untung minggu depan selepas catat pengukuhan

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Urus niaga ringgit dijangka menyaksikan aktiviti pengambilan untung pada minggu depan selepas mencatat aliran pengukuhan pada minggu ini.

Dalam tempoh enam hari berturut-turut, unit tempatan itu ditutup mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), termasuk mencecah paras 4.0365/0405 pada Jumaat.

Menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB), peningkatan ketara ringgit dan keadaan “oversold” atau terlebih jual (secara teknikal berbanding dolar AS berikutan pengukuhan ringgit) pada minggu ini akan mengundang aktiviti pengambilan untung jika Pengerusi Rizab Persekutuan AS Kevin Warsh memberi isyarat kurang menyokong pelonggaran dasar monetari pada Simposium Jackson Hole yang akan berlangsung pada 27-29 Ogos 2026.

Kalangan pelabur akan turut menumpukan perkembangan berkaitan penunjuk keputusan dasar Fed pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 15-16 September ini.

“Gandingan USD/MYR dijangka diniagakan dalam julat 4.04 hingga 4.06 dengan sebarang lantunan susulan pembetulan awal, berkemungkinan berlaku sebelum ringgit mengukuh semula.

“Paras 4.06 itu akan dapat ditembusi jika krisis AS-Iran terus meruncing,” maklum bank pelaburan itu menerusi nota penyelidikan hari ini.

Selain itu, Kenanga IB menyatakan sebelum berlangsungnya simposium itu, penggiat pasaran akan memberi tumpuan ke atas laporan inflasi perbelanjaan penggunaan peribadi AS yang akan diumumkan pada 26 Ogos 2026.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, ringgit meningkat berbanding dolar AS kepada 4.0365/0405 daripada 4.0840/0885 yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang utama lain pada urus niaga minggu terbabit.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.5118/5173 daripada 5.5232/5293 pada Jumaat lepas dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5449/5476 daripada 2.5660/5690, namun susut berbanding euro kepada 4.7227/7274 daripada 4.7182/7234, sebelum ini.

Berbanding mata wang serantau ASEAN, ringgit diniagakan kebanyakannya mengukuh.

Unit tempatan itu naik berbanding peso Filipina ke paras 6.54/6.55 daripada 6.64/6.66 seminggu sebelumnya, meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1809/1843 daripada 3.1924/1964 dan turut mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 228.1/228.4 daripada 229.0/229.4.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding baht Thailand kepada 12.3474/3638 daripada 12.3153/3333 pada minggu sebelumnya. – Bernama