SIMANGGANG: Kesedaran mengenai keselamatan kebakaran dalam kalangan warga sekolah terus diperkasa menerusi penganjuran Ceramah Keselamatan Kebakaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Luke, Sri Aman, dekat sini semalam.
Program anjuran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman itu bertujuan memberikan pendedahan kepada warga sekolah mengenai langkah keselamatan yang perlu diambil bagi menghadapi sebarang kejadian kebakaran.

Menurut kenyataan media BBP Sri Aman, ceramah berkenaan disampaikan oleh Pegawai Bomba Kannan I, Edwin Jonani dan Pegawai Bomba Walter Ami.
Seramai 33 guru dan 443 murid menyertai program tersebut yang memberi fokus kepada aspek pencegahan serta tindakan awal ketika berdepan kecemasan kebakaran.
Pendedahan tersebut turut merangkumi tatacara yang betul ketika berlaku kebakaran, termasuk tindakan segera bagi memastikan keselamatan diri serta warga sekolah yang lain.
Selain itu, peserta turut diberikan penerangan mengenai prosedur pengungsian bangunan secara teratur bagi mengelakkan kekeliruan dan mengurangkan risiko kecederaan ketika berdepan situasi kecemasan.
BBP Sri Aman berharap program seumpama itu dapat meningkatkan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan warga sekolah, sekali gus membudayakan amalan keselamatan kebakaran dalam kehidupan seharian.
Oleh Adi Safarman





