ENGKILILI: Seramai 70 murid, ibu bapa dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Merbong telah menyertai Program 3M Buaya: Mengenali, Memahami, Memulihara yang dianjurkan di sekolah berkenaan semalam, dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan ketika berada berhampiran sungai.
Menurut kenyataan media Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), program tersebut memberi pendedahan kepada murid mengenai sifat dan tingkah laku buaya, selain langkah keselamatan yang perlu diamalkan bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.
Antara perkara yang ditekankan ialah kepentingan menjaga kebersihan sungai serta mengelakkan perbuatan membuang sampah ke dalam sungai.
Program dimulakan dengan ceramah keselamatan yang disampaikan Pegawai Hidupan Liar Pejabat Wilayah Kuching, SFC, Sophia Sik.
Dalam ceramah itu, beliau menerangkan kesan pencemaran sungai terhadap ekosistem serta faktor yang boleh mempengaruhi kehadiran buaya di sesuatu kawasan.
Beliau turut berkongsi beberapa langkah mudah yang boleh diamalkan orang ramai bagi mengelakkan risiko serangan buaya, khususnya bagi mereka yang tinggal atau sering melakukan aktiviti berhampiran sungai.
Pendedahan seumpama itu penting bagi memastikan murid bukan sahaja mengenali ciri-ciri buaya, malah memahami kepentingan mengambil langkah berjaga-jaga ketika berada di kawasan berisiko.
Bagi mengukuhkan pemahaman, murid turut menyertai sesi kuiz berkaitan buaya yang berlangsung dalam suasana interaktif dan menyeronokkan.
Aktiviti diteruskan dengan pertandingan mewarna yang turut membantu murid mengingati ciri-ciri serta bentuk fizikal haiwan berkenaan.
Program diakhiri dengan ucapan penutupan oleh Guru Besar, Billy Jelian, yang menggesa murid menjadi ‘duta kecil’ dengan berkongsi pengetahuan yang diperoleh bersama keluarga dan rakan-rakan.
Turut hadir memeriahkan program tersebut Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Gabrillie Andrew Jua.
Usaha berterusan seperti ini diharap dapat memupuk kesedaran mengenai keselamatan sejak di bangku sekolah, terutama dalam kalangan murid yang tinggal di kawasan berhampiran sungai yang menjadi habitat buaya.
Oleh Adi Safarman





