KUCHING: Program Pemberian Vaksin dijalankan di empat pusat pemberian vaksin (PPV) iaitu di Klinik Kesihatan Santubong, Klinik Kesihatan Buntal, Klinik Kesihatan Telaga Air dan Masjid Darul Hana.
Lebih 34,000 penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai dijangka selesai menerima vaksin pada penghujung Julai atau selewat-lewatnya awal Ogos.
Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, PPV Masjid Darul Hana akan mula beroperasi Sabtu ini bagi menampung pemberian vaksin untuk penduduk Kawasan Seberang Hilir.
“Kita berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) an Jawatakuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawka (JPBNS) kerana memberi kelulusan untuk membuka PPV di kawasan kita.
“Ia memberi kelegaan kerana memberi kemudahan kepada penduduk untuk menerima vaksin di lokasi berdekatan dengan rumah masing-masing,” katanya.
Tambahnya, setakat ini perjalanan pemberian vaksin berjalan dengan lancar dan tiada aduan diterima. Sokongan padu ketua masyarakat banyak membantu proses pemberian vaksin terutama di Santubong, Buntal dan Telaga Air.
Dr Abdul Rahman yang juga merupakan Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, pembukaan empat PPV tersebut adalah untuk mengatasi masalah tidak berdaftar atau belum menerima panggilan vaksin.
Oleh AZREEN KERIA