Elvis mahu pecahkan dominasi China di Sukan Asia

Facebook
WhatsApp
ELVIS Priestly Clement(kiri) dan Jared Aiden Harold ketika majlis penyampaian pingat acara 10 Meter (10m) Platform Seirama Lelaki di Pusat Akuatik Darul Ehsan, hari ini.

SHAH ALAM: Penerjun Sarawak, Elvis Priestly Clement, tidak mahu sekadar menjadi pelengkap saingan apabila turun membawa cabaran Malaysia di Sukan Asia nanti, sebaliknya berazam mencabar dominasi China dalam acara 10 Meter (10m) Platform Seirama Lelaki.

Elvis yang baru sahaja membantu Sarawak meraih emas acara 10m Platform Seirama Lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026 di Pusat Akuatik Darul Ehsan, hari ini, mengakui sasaran itu bukan sesuatu yang mudah, namun tetap mahu memberikan cabaran terbaik bersama gandingannya, Enrique Harold Maccartney.

Menurutnya, Malaysia kini berada di kedudukan kedua Asia dalam acara berkenaan di belakang China, sekali gus menjadikan kuasa besar itu sebagai pencabar utama pada pentas Sukan Asia.

“Sasaran untuk Sukan Asia memang ada iaitu seirama 10m. Itu memang sasaran saya dengan Enrique. Kami memang menyasarkan pingat.

“Kami mahu bawa nama Malaysia dan Sarawak ke pentas antarabangsa,” katanya ketika ditemui selepas saingan Sukma hari ini.

Elvis berkata, walaupun persediaan mereka tidak setanding negara seperti China yang mempunyai sistem latihan dan gandingan lebih konsisten, beliau percaya peluang masih terbuka sekiranya mereka mampu mengekalkan fokus dan konsistensi ketika pertandingan.

“Sebenarnya tahap kesukaran terjunan bukan masalah untuk China mengalahkan kami. Yang penting kami perlu konsisten dan fokus,” katanya.

Menurutnya, cabaran terbesar buat dirinya dan Enrique adalah kekangan masa untuk menjalani latihan seirama secara konsisten, selain faktor kecederaan yang sebelum ini menjejaskan persiapan.

“Kami jarang melakukan latihan seirama kerana ada banyak kecederaan. Kami juga perlu berlatih secara berasingan banyak kali.

“Sebab itu kami perlu bekerja lebih keras berbanding negara lain,” katanya.

Elvis mengakui jadual persiapannya menuju Sukan Asia juga amat padat apabila baru sahaja menamatkan saingan Kejohanan Dunia sebelum beraksi di Sukma dan dijadualkan menjalani kem latihan dalam tempoh dua minggu lagi.

Namun, beliau melihat Sukma sebagai medan penting untuk mendapatkan semula rentak sebelum memberi tumpuan sepenuhnya kepada pentas Asia.

“ Sukma adalah persiapan saya ke Sukan Asia,” katanya.

Dalam pada itu, Elvis turut mengakui masih mempunyai sedikit trauma untuk melakukan terjunan dari platform 10m susulan kecederaan retak tulang belakang yang dialaminya sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, kecederaan berkenaan sudah pulih dan kini hanya kesan trauma yang masih dirasai ketika melakukan terjunan.

“Setakat ini kecederaan memang sudah tiada dan saya masih okay. Cuma trauma itu masih ada sedikit apabila mahu melakukan terjunan 10m.

“Tetapi saya cuba sedaya upaya. Saya dengan Enrique juga sudah mengubah beberapa tahap kesukaran terjunan,” katanya.

Elvis dan Enrique kini menggalas harapan untuk menampilkan aksi terbaik di Sukan Asia, dengan misi mencabar dominasi China dan sekurang-kurangnya membawa pulang pingat untuk Malaysia.

Oleh Shahrul Qaizat