SELANGOR: Hanya sempat menjalani latihan seirama selama seminggu sebelum Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026, gandingan penerjun Sarawak, Elvis Priestly Clement dan Jared Aiden Harold, tetap mencipta kejutan apabila meraih pingat emas acara 10 Meter (10m) Platform Seirama Lelaki di Pusat Akuatik Darul Ehsan, hari ini.
Gandingan itu mengumpul 330.51 mata untuk muncul juara, mengatasi pasangan Selangor, Hazriq Muizzudin dan Arfa Zikry, yang meraih perak dengan 305.28 mata, manakala gangsa menjadi milik pasangan dari Sabah, Mohammad Ayron dan Muhammad Anilrian selepas mengumpul 288.78 mata.
Kejayaan tersebut cukup bermakna buat Elvis dan Jared memandangkan kedua-duanya tidak mempunyai banyak masa untuk membina keserasian sebelum saingan bermula.
Jared berkata, persiapan bersama Elvis amat terhad kerana beliau menjalani kem latihan di luar negara, manakala Elvis pula mempunyai komitmen latihan di Kuala Lumpur.
“Memang kurang persiapan sebab saya pergi kem latihan di luar dan dia tidak ikut. Jadi, kami baru mula seirama semula seminggu sebelum Sukma,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan.
Menurut Jared, kali terakhir mereka bergandingan dalam acara seirama adalah pada SUKMA 2022 di Kuala Lumpur, menyebabkan kejayaan meraih emas kali ini tidak pernah diletakkan sebagai sasaran utama.
“Kami memang tidak jangka untuk dapat emas sebab pencabar lain pun kuat dan persiapan kami memang kurang,” katanya.
Elvis turut mengakui mereka sebenarnya masih belum berpuas hati sepenuhnya dengan persembahan yang ditampilkan, namun bersyukur kerana mampu mengakhiri saingan dengan emas.
“Hari ini saya rasa gembira sebab dapat emas. Persembahan kami sebenarnya kami tidak berapa puas hati, tetapi kami tetap bersyukur dengan apa yang kami dapat.
“Kami berdua baru mula membina keserasian semula,” katanya.
Bagaimanapun, kejayaan di Sukma itu menjadi suntikan penting buat Elvis yang bakal menggalas cabaran negara di Sukan Asia tidak lama lagi menerusi acara 10m platform seirama bersama gandingan tetapnya, Enrique Harold Maccartney.
Elvis berkata, sasaran utamanya di pentas Sukan Asia adalah untuk membawa pulang pingat, termasuk mengintai peluang mencipta sejarah dengan menamatkan dominasi China dalam acara berkenaan.


“Memang ada sasaran untuk Sukan Asia iaitu acara seirama 10m. Itu sasaran saya dengan Enrique dan kami menyasarkan pingat, sambil membawa nama Malaysia dan Sarawak ke pentas antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, Malaysia kini berada di kedudukan kedua Asia dalam acara berkenaan, di belakang China, sekali gus menjadikan cabaran untuk mencipta kejutan di Sukan Asia bukan sesuatu yang mudah.
Elvis berkata, kelebihan China dari segi persiapan tidak boleh dipandang ringan, namun beliau dan Enrique akan memberi fokus kepada aspek konsistensi serta tumpuan bagi meningkatkan peluang di pentas berkenaan.
“Persiapan kami tidak boleh dibandingkan dengan China kerana kami jarang melakukan latihan seirama disebabkan beberapa faktor termasuk kecederaan.
“Jadi, kami perlu bekerja lebih keras berbanding negara lain. Bagi saya, kesukaran terjunan bukan masalah utama untuk China menewaskan kami, yang penting kami perlu konsisten dan kekal fokus,” katanya.
Dalam pada itu, Elvis turut mendedahkan masih mempunyai sedikit trauma untuk melakukan terjunan dari platform 10m susulan kecederaan retak tulang belakang yang dialaminya sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kecederaan berkenaan sudah pulih dan kini hanya berdepan kesan trauma ketika melakukan terjunan.
“Setakat ini kecederaan sudah tiada dan keadaan saya baik. Cuma masih ada sedikit trauma untuk melompat dari 10m, tetapi saya cuba sedaya upaya untuk mengatasinya.
“Kami juga sudah mengubah beberapa tahap kesukaran terjunan untuk saya dan Enrique,” katanya.
Elvis berkata, penyertaan di Sukma kali ini turut dijadikan sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi Sukan Asia, terutama selepas jadual pertandingan yang padat bermula dengan Kejohanan Dunia sebelum disusuli Sukma dan kem latihan.
“Sebenarnya kami sangat mengejar masa. Kami baru habis Kejohanan Dunia, kemudian terus Sukma dan dua minggu lagi akan menjalani kem latihan sebelum bergerak ke Sukan Asia.
“Kami tidak meletakkan terlalu banyak jangkaan, cuma sasaran kami adalah untuk mendapatkan pingat,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat




