Warga emas 85 tahun hilang ditemui selamat 500 meter dari rumah

Facebook
WhatsApp
WARGA emas berusia 85 tahun ditemui selamat kira-kira 500 meter dari rumahnya di Rumah Beredai, Jalan Paip, Spatak Undop, Simanggang, pagi tadi. Foto PGO Bomba Sarawak

SIMANGGANG: Kebimbangan sebuah keluarga terhadap kehilangan seorang warga emas berusia 85 tahun berakhir dengan kelegaan apabila lelaki berkenaan ditemui selamat kira-kira 500 meter dari rumahnya di Rumah Beredai, Jalan Paip, Spatak Undop, di sini, pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan mangsa, Chee Kim Chin, ditemui orang kampung dalam keadaan masih sedar namun lemah.

Mangsa dilaporkan hilang selepas anaknya pulang ke rumah kira-kira 6.30 pagi semalam untuk mengambil bapanya, namun mendapati mangsa tiada di rumah.

Usaha mencari mangsa kemudian dilakukan di kawasan sekitar dengan bantuan jiran, namun tidak berhasil sehingga anak mangsa membuat laporan polis bagi mendapatkan bantuan.

Dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari pertama, pasukan bomba bersama agensi lain digerakkan ke lokasi pagi ini untuk meneruskan pencarian.

Pada 8.00 pagi, anggota operasi dimaklumkan bahawa mangsa telah ditemui penduduk kampung kira-kira 500 meter dari rumahnya.

Pasukan operasi yang diketuai Sarjan Abg Ridzuan kemudian bergerak ke lokasi dan membawa mangsa menggunakan pengusung ke rumahnya.

Mangsa tiba di rumah kira-kira 8.50 pagi sebelum dibawa ke Hospital Sri Aman II menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pada 8.55 pagi untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut PGO JBPM Sarawak, mangsa mempunyai sejarah penyakit darah tinggi selain mengalami masalah kurang pendengaran.

Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya oleh pihak polis pada 9.00 pagi selepas mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat.

Operasi berkenaan membabitkan 11 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dengan sokongan lima anggota polis dan 10 anggota APM, selain penggunaan sebuah kenderaan Urvan dan sebuah Hilux.

Operasi diketuai PBK I Mohamad Fadhli Buyong.

Oleh Adi Safarman