KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis, seiring dengan prestasi positif pasaran serantau susulan pemulihan Wall Street semalaman.
Pada 9.04 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.60 mata kepada 1,735.92 daripada 1,731.32 ketika ditutup pada Rabu.
Indeks penanda aras itu dibuka 0.79 mata lebih tinggi pada 1,732.11.
Sentimen pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 267 berbanding 139, manakala 268 kaunter tidak berubah, 2,198 tidak diniagakan dan 16 digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 223.02 juta saham bernilai RM141.52 juta.
Rakuten Trade Sdn Bhd berkata dalam nota hari ini bahawa Wall Street mengalami pemulihan selepas Perbendaharaan AS membeli bon bagi meredakan peningkatan hasil bon yang sejak kebelakangan ini memberi tekanan kepada pasaran kewangan global.
Susulan campur tangan itu, hasil bon Perbendaharaan AS 10 tahun susut kepada 4.65 peratus.
“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan pasaran global masih dipengaruhi oleh hasil bon yang tinggi. Oleh itu, kami menjangkakan indeks bergerak dalam julat 1,725 hingga 1,735 hari ini,” katanya.
Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 1.11 peratus kepada 25,779.08, Nikkei 225 Jepun naik 1.13 peratus kepada 66,061.83, manakala Indeks Komposit KOSPI Korea Selatan melonjak 4.99 peratus kepada 6,794.15. Sebaliknya, Indeks Straits Times Singapura susut 0.61 peratus kepada 5,659.52.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM10.62, Public Bank turun satu sen kepada RM5.14, manakala CIMB Group meningkat tiga sen kepada RM7.94 dan IHH Healthcare menambah empat sen kepada RM8.34. Tenaga Nasional tidak berubah pada RM14.40.
Antara kaunter paling aktif, CBH Engineering Holding melonjak 4.5 sen kepada 83.5 sen, Capital A dan SMRT Holdings masing-masing meningkat setengah sen kepada 34.5 sen dan 23 sen, manakala TWL Holdings kekal pada 2.5 sen dan JCY International naik satu sen kepada 52.5 sen.
Sementara itu, kaunter untung utama, Malaysian Pacific Industries melonjak 56 sen kepada RM46.66, YTL Power International meningkat 24 sen kepada RM5.12, Allianz Malaysia menambah 18 sen kepada RM22.28, Hong Leong Bank naik 14 sen kepada RM22.82 dan MISC meningkat 11 sen kepada RM8.17.
Bagi kaunter rugi utama, Nestle susut RM1 kepada RM103, Ranhill Utilities turun 41 sen kepada RM2.36, Paragon Union merosot 11 sen kepada RM1.54, manakala BM Greentech dan Gas Malaysia masing-masing susut lapan sen kepada RM1.79 dan RM5.05.
Di papan indeks, Indeks FBM 70 meningkat 33.72 mata kepada 18,167.99, Indeks FBM Emas Shariah naik 24.10 mata kepada 12,659.23 dan Indeks FBM Emas menambah 31.06 mata kepada 12,835.80.
Indeks FBM Top 100 pula meningkat 31.00 mata kepada 12,650.87, manakala Indeks FBM ACE naik 32.79 mata kepada 5,335.51.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan melonjak 26.29 mata kepada 9,307.44 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 7.30 mata kepada 20,299.65. Sebaliknya, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.21 mata kepada 189.34, manakala Indeks Tenaga turun 1.66 mata kepada 775.81. – Bernama





