DEBAK: Sebuah blok bangunan baharu dua tingkat sedang dibina di Klinik Kesihatan Debak bagi menyediakan kemudahan kesihatan yang lebih selesa, lengkap dan kondusif kepada masyarakat setempat.
Menurut kenyataan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, pembangunan blok baharu itu merangkumi beberapa kemudahan utama bagi meningkatkan keupayaan klinik dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk Debak dan kawasan sekitarnya.
Antara kemudahan yang disediakan ialah lobi utama, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak di tingkat bawah serta Klinik Pergigian di tingkat satu.

Selain itu, projek berkenaan turut melibatkan penyediaan ruang gunasama, kerja-kerja luaran, perabot terbina dalam serta papan tanda bagi melengkapkan keseluruhan fasiliti baharu berkenaan.
Projek itu dijangka siap pada Mac 2028 dan bakal memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat, khususnya dalam mendapatkan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan ibu dan anak serta perkhidmatan pergigian yang lebih baik.
Pembangunan kemudahan berkenaan juga dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan di Debak, selaras dengan keperluan penduduk dan perkembangan kawasan sekitar.
Dengan adanya blok baharu tersebut, masyarakat dijangka dapat menikmati persekitaran rawatan yang lebih selesa, teratur dan kondusif, sekali gus meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
Oleh Adi Safarman



