LIMBANG: Beberapa buah rumah, kedai dan kemudahan awam di daerah ini mengalami kerosakan akibat ribut dan angin kencang yang melanda sekitar 2.00 petang hari ini.
Ribut berkenaan turut menjejaskan beberapa jalan utama susulan kejadian pokok tumbang, selain menyebabkan lampu jalan di kawasan Taman Damai condong akibat ditiup angin kencang.

Kemudahan Dewan Kampung Bunga Raya yang menjadi lokasi utama bagi penganjuran program berskala besar turut mengalami kerosakan apabila sebahagian bumbung diterbangkan angin, manakala sebahagian siling runtuh.
Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang, Pegawai Bomba Ramlan Marajan, berkata pihaknya turut menerima beberapa laporan berkaitan kerosakan infrastruktur awam selain kejadian pokok tumbang.

“Kita ada menerima laporan dan ketika ini pasukan sedang menjalankan operasi pembersihan jalan dari Tebabang hingga ke Giatmara baharu.
“Di sepanjang jalan tersebut juga terdapat banyak pokok tumbang, manakala bumbung Pejabat Giatmara baharu turut mengalami kerosakan akibat angin kencang,” katanya kepada media hari ini.
Oleh Adeng Edrus



