WASHINGTON, Amerika Syarikat: Sophie Adenot menjadi angkasawati Perancis pertama yang keluar dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) untuk menjalani aktiviti luar kapal angkasa, bersama angkasawan Amerika Syarikat, Anil Menon.
Dalam misi yang berlangsung hampir enam setengah jam itu, kedua-dua angkasawan berkenaan cuba menggantikan antena yang membolehkan ISS berkomunikasi dengan pusat kawalan misi di Houston, menurut NASA.
“Saya sudah berada di luar,” kata Adenot, 44, selepas keluar dari ISS, kira-kira 400 kilometer di atas permukaan Bumi. “Saya berasa sangat baik sekarang.”
Adenot menjadi angkasawati Eropah kedua menjalani aktiviti luar kapal angkasa selepas angkasawati Itali, Samantha Cristoforetti, melaksanakan misi berkenaan pada 2022.

Adenot dan Menon kedengaran berbual dan ketawa menerusi rakaman NASA sepanjang aktiviti berkenaan.
Walaupun berjaya menanggalkan antena yang rosak, mereka tidak dapat menggantikannya dengan peralatan baharu berikutan kekangan masa, menurut NASA.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron memuji aktiviti luar kapal angkasa Adenot sebagai satu pencapaian yang membangkitkan “kebanggaan Perancis”, selain menerima pujian daripada barisan pemimpin politik di negara asalnya.
Jurutera penerbangan, Jack Hathaway, dan komander stesen, Jessica Meir, kekal di dalam ISS sepanjang aktiviti luar kapal angkasa itu.
Selepas membantu rakan mereka memakai sut angkasa, kedua-duanya ditugaskan memantau mereka serta mengendalikan lengan robotik bagi membantu kerja membaiki antena.

“Ya, hari yang sungguh bermakna,” kata Adenot selepas aktiviti luar kapal angkasa itu.
“Setinggi-tinggi penghargaan saya kepada semua yang menjayakan perkara ini, termasuk perintis yang mendahului kami, serta pasukan hebat yang bekerja di belakang tabir hari ini.”
Beberapa hari sebelum operasi itu,
angkasawati Perancis berkenaan membuat persediaan dengan meneliti sut angkasa, peralatan dan prosedur keselamatan yang perlu dipatuhi ketika berada di luar stesen angkasa.
“Aktiviti luar kapal angkasa yang berjaya bermula jauh sebelum pintu palka dibuka, dan itulah tumpuan saya sejak beberapa hari lalu: berlatih, membuat persediaan dan memberikan tumpuan,” kata Adenot menerusi X pada Ahad.
Adenot yang terlatih sebagai jurutera dan pernah menjadi juruterbang ujian menjadi wanita Perancis kedua dalam sejarah yang terbang ke angkasa lepas pada Februari, selepas perintis angkasa lepas Claudie Haignere.
Warga Perancis terakhir menjalani aktiviti luar kapal angkasa ialah Thomas Pesquet, yang melakukannya sebanyak enam kali sepanjang dua misi di ISS. – AFP




