KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) pasukan A muncul juara sulung Piala Cabaran Debat Premier Sarawak (PSDC) 2026 selepas menewaskan Swinburne pasukan 1 pada pertandingan akhir di Dewan Jubli, UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan, malam tadi.
Menurut kenyataan Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak, kemenangan itu menyaksikan UiTM pasukan A menjadi pasukan pertama menjulang Piala Premier Sarawak dan mencatat nama sebagai juara sulung pertandingan berkenaan.
Pada pertembungan akhir, kedua-dua pasukan membahaskan usul “Dewan ini percaya bahawa pelaburan masa depan terbesar Pelabuhan Bintulu seharusnya diberikan kepada bakat muda Sarawak, bukannya infrastruktur,” pasukan 1 Swinburne sebagai pihak Kerajaan, manakala pasukan A UiTM mewakili pihak Pembangkang.
UiTM pasukan A membawa pulang RM10,000 berserta Piala Premier Sarawak, manakala Swinburne pasukan 1 menerima RM7,000 sebagai naib juara.
Sementara itu, Roy Makaay Jeffery dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) AHM dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Keseluruhan PSDC 2026, manakala Ethan Hope Eric daripada UiTM menerima anugerah Pendebat Terbaik Pertandingan Akhir.
Majlis kemuncak itu dihadiri Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, selaku tetamu kehormat mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dalam teks ucapan Premier Sarawak yang disampaikan oleh Dato Sri Roland, beliau menekankan pembangunan Sarawak perlu bergerak seiring dengan pembangunan bakat dan modal insan bagi mempersiapkan generasi muda menghadapi ekonomi masa hadapan.
“Teknologi sahaja tidak mencukupi. Infrastruktur sahaja tidak mencukupi. Modal sahaja tidak mencukupi.
“Pada akhirnya, manusialah yang menentukan sama ada peluang yang kita cipta dapat diterjemahkan kepada kemajuan.
“Aset terbesar yang dimiliki Sarawak bukanlah yang terdapat di bawah tanah yang kita pijak, tetapi rakyatnya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak, Datuk Ismawi Ismuni berkata, PSDC bukan sekadar pertandingan untuk menentukan peserta paling petah berhujah, sebaliknya platform membina keyakinan, pemikiran kritikal, kemahiran penyelidikan dan komunikasi dalam kalangan anak muda.
“Generasi muda perlu diberi ruang memahami perkembangan di Sarawak, melihat isu daripada pelbagai perspektif serta berani mengemukakan pandangan secara konstruktif,” jelasnya.
PSDC 2026 yang bertemakan “Menyemarakkan Pemikiran, Memajukan Sarawak” menghimpunkan 74 pendebat daripada 18 pasukan mewakili 10 institusi pengajian tinggi di Sarawak, dengan perbahasan menyentuh isu ekonomi, industri, teknologi, tenaga dan pembangunan modal insan.
Pertandingan anjuran AZAM Sarawak itu turut memberi pendedahan kepada peserta menerusi perkongsian rakan industri termasuk Bintulu Port, Press Metal dan SACOFA, sebelum saingan berakhir dengan UiTM Team A dinobatkan sebagai juara sulung dan pasukan pertama menjulang Piala Premier Sarawak.





