KUALA LUMPUR: Unit Anjing Pengesan Hidupan Liar (K9) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia memperketat pemantauan kargo di KLIA bagi membanteras cubaan menyeludup hidupan liar melalui laluan udara.
Perhilitan dalam kenyataan hari ini berkata operasi bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Kargo KLIA itu dilaksanakan hampir sebulan bermula pertengahan Julai hingga pertengahan Ogos sebagai tindakan penguatkuasaan melalui pemantauan terhadap kargo di pusat kargo KLIA.
Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan meliputi hampir semua pusat logistik utama bagi memastikan sindiket tidak menjadikan kargo udara sebagai laluan untuk menyeludup hidupan liar dan khazanah alam.
“Operasi Pematuhan Kargo menunjukkan keupayaan Unit K9 Perhilitan dalam mengesan bau tersembunyi,” menurut kenyataan itu.
Unit K9 Perhilitan mengesan bau pada palet kayu dan kotak kargo bagi mengenal pasti barangan berkaitan penyeludupan hidupan liar termasuk gading gajah, sisik tenggiling dan tulang harimau serta hidupan liar hidup yang disembunyikan dalam bagasi atau kotak kargo oleh sindiket.
Perhilitan berkata kehadiran Unit K9 di laluan utama kargo bukan sahaja berperanan sebagai alat pengesan malah menjadi elemen pencegahan terhadap kegiatan penyeludupan hidupan liar antarabangsa.
“Perhilitan bersama AKPS akan terus memperketat kawalan di titik-titik panas pintu masuk negara secara berterusan bagi memastikan biodiversiti negara sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai diseru menyalurkan maklumat berkaitan jenayah hidupan liar melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman sesawang rasmi Perhilitan. – Bernama





