KULAI: Meskipun baharu dua tahun beroperasi di kawasan seluas 0.61 hektar (1.5 ekar), ladang cili yang diusahakan Tunas Grow Synergy Sdn Bhd membuktikan bahawa saiz tanah dan tempoh perniagaan bukan penghalang untuk mencatatkan hasil pengeluaran yang memberangsangkan.
Menerusi projek sulung di Kampung Ayer Manis, Sedenak, ladang yang menempatkan lebih 8,800 anak pokok cili varieti 461 itu mampu menghasilkan tuaian antara lapan hingga 10 tan bagi setiap musim pengeluaran.
Pengurus ladang Muhamad Faqihiddin Syah Muhamad Khalil, 33, berkata bagaimanapun pengeluaran berkenaan masih belum mencukupi untuk menampung permintaan pasaran tempatan yang tinggi.

“Permintaan tinggi menyaksikan ada pemborong yang sanggup membeli dan mengambil keseluruhan hasil tuaian secara terus dari ladang kami,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata selain faktor permintaan, kestabilan perniagaan itu turut didorong trend harga pasaran, dengan harga jualan semasa sekitar RM6 sekilogram dan boleh mencecah antara RM12 hingga RM14 sekilogram.
Katanya, setakat ini hasil cili dari ladang berkenaan dibeli pemborong dari sekitar Johor dan Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Muhamad Faqihiddin Syah berkata ladang berkenaan diusahakan menerusi sistem fertigasi berasaskan teknologi Internet Kebendaan (IoT), yang membolehkan pengurusan ladang dilakukan secara digital.

“Sistem fertigasi ini memudahkan kerana kita tidak perlu menyiram pokok satu demi satu, sekali gus mengurangkan keperluan tenaga kerja,” katanya, sambil menjelaskan syarikat berkenaan turut menerima latihan, geran dan bantuan peralatan daripada Jabatan Pertanian Negeri Johor.
Kaedah penanaman pula menggunakan 100 peratus cocopeat (sabut kelapa) tanpa tanah, kerana bahan berkenaan berupaya menyerap dan menyimpan air.
Menurutnya, Tunas Grow Synergy yang diusahakan empat individu itu turut memperoleh Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) selepas sampel cili didapati tidak mengandungi residu racun perosak.

Bagaimanapun, katanya, menguruskan ladang cili bukan tugas mudah kerana perlu berdepan cabaran serangan serangga perosak seperti lalat putih (whitefly) dan kutu trips (thrips), yang boleh menyebabkan pokok rosak atau mati.
Dalam pada itu, beliau berkata permintaan tinggi terhadap cili serta kebergantungan negara terhadap bekalan cili import membuka ruang pasaran yang luas untuk diterokai pengusaha tempatan.
Sehubungan itu, beliau berkata Tunas Grow Synergy berhasrat mengukuhkan tapak operasi sedia ada sebelum merancang untuk memperluas skala ladang bagi memenuhi permintaan cili tempatan.

Beliau pada masa sama berharap lebih ramai golongan muda dapat mengubah persepsi negatif terhadap sektor pertanian yang dianggap tidak menarik atau ketinggalan zaman.
Katanya, sektor pertanian sebenarnya mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada keterjaminan bekalan makanan negara sekiranya diceburi dengan ilmu dan minat yang mendalam.
Sektor itu juga katanya mendapat sokongan kerajaan, termasuk menerusi penyediaan Geran Agropreneur Muda bagi membantu golongan belia menceburi industri pertanian. – Bernama





